am@hmetro.com.my
Serdang: Jenazah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali meninggalkan Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah, di sini, pada 5.20 petang tadi selepas selesai disolatkan.
Jenazah kemudian dibawa ke Pusara Negara di Presint 20, Putrajaya untuk istiadat pengebumian.
Terdahulu, solat jenazah di masjid berkenaan berlangsung dua sesi dan dihadiri kira-kira 2,000 orang.
Di Putrajaya Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, antara kerabat diraja yang hadir memberikan penghormatan terakhir buat Allahyarhamah Dr Siti Hasmah.
Baginda tiba sekitar 4.45 petang dengan diiringi kenderaan polis.
Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib serta Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Selain itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid bersama pegawai kanan juga hadir bagi memberikan penghormatan terakhir.
Kelihatan menanti ketibaan jenazah adalah mantan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador serta bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Kawasan Pusara Negara mula dipenuhi orang ramai seawal 3.30 petang dan dikawal ketat pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kelancaran istiadat pengebumian dan lalu lintas tidak terhalang.
Dr Siti Hasmah berusia 100 tahun, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.20 pagi tadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




