sukan@hmetro.com.my
Nagoya: Pemanah negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh mara ke suku akhir acara individu wanita, namun perjalanan rakan sepasukannya dalam acara compound berakhir pada saingan Sukan Asia Aichi-Nagoya, hari ini.
Fatin menewaskan wakil Emiriah Arab Bersatu (UAE), Amna Alawadhi 144-143 pada pusingan pertama (1/16), sebelum sekali lagi mencatat kemenangan tipis 147-146 ke atas pemanah Thailand, Kanoknapus Kaewchomphu pada pusingan kedua (1/8) di Okazaki Chuo Sogo Park.
Fatin, yang meraih pingat perak pada Piala Dunia Memanah awal tahun ini, akan berdepan wakil Korea Selatan, Park Jungyoon pada suku akhir, Khamis ini.
Iman Aisyah Norazam pula tewas kepada Chen Fang Yi dari Taiwan menerusi penentuan ‘shoot-off’ selepas kedua-dua pemanah terikat 145 mata pada aksi pusingan pertama.
Dalam acara individu compound lelaki, Juwaidi Mazuki menewaskan wakil Jepun, Naoki Komoto 149-145 pada pusingan pertama (1/16), namun gagal meneruskan kemaraan selepas tewas 145-147 kepada wakil Korea Selatan, Kim Jongho pada pusingan kedua.
Alang Ghazalli pula menewaskan wakil Vietnam, Nguyen Van Day 148-147 pada pusingan pertama sebelum tewas 145-149 kepada wakil Korea Selatan, Yonghee Choi pada pusingan kedua.
Pusingan awal acara individu recurve lelaki dan wanita akan berlangsung esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




