aida_adilah@hemtro.com.my
Kuala Lumpur: Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau meletakkan sasaran untuk memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 110 meter (m) lari berpagar dalam tempoh setahun biarpun dia kini baru berusia 18 tahun.
Rekod kebangsaan dalam acara itu kini di pegang oleh Rayzam Shah Wan Sofian iaitu 13.67 saat (s) yang dilakukan pada 27 Mei 2017 di Jerman.
Namun ia bukan satu masalah buat pemenang dua pingat emas Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara di Bangkok awal bulan lalu itu malah keyakinan itu dilaungkan oleh anak jati Johor itu dalam usaha mencabar dirinya menjadi sebaik bekas atlet kebangsaan negara, Rayzam.
Namun sasarannya kini adalah untuk melayakkan diri terlebih dahulu ke Kejohanan Remaja Dunia di Peru yang akan berlangsung dari 20 hingga 25 Ogos tahun depan dan perlu melepas had kelayakan 14.20s.
Bagaimanapun Hazriq perlu mengejar masa kerana dia tidak memiliki tempoh yang panjang selepas terpaksa memberi perhatian kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan bermula dari 30 Januari hingga 7 Mac 2024.
Hazriq yang turut menyumbang emas dalam acara 4x100m di Bangkok baru-baru ini hanya mempunyai tempoh dua bulan selepas SPM untuk melayakkan diri ke Peru yang mana tarikh tutup penyertaannya adalah pada bulan Mei tahun depan.
“Memang tak banyak kerana saya akan fokus kepada SPM terlebih dahulu. Sepatutnya saya menyasarkan untuk layak ke Kejohanan Dunia di Kejohanan Olahraga Terbuka SAECA-BJSS Innotex 2023 namun mengalami kecederaan hamstring dan saya terpaksa menarik diri.
“Atas nasihat doktor dan jurulatih saya memutuskan untuk tidak beraksi di Innotex jadi selepas SPM ini baru saya akan fokus kembali untuk memburu tempat ke Peru.
“Saya yakin, saya mampu melepasi syarat kelayakan dan mungkin saya akan beraksi di Terbuka Taiwan nanti yang dijadualkan pada bulan tiga atau empat tahun depan,” katanya.
Hazriq sudahpun mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Auburn, Amerika Syarikat berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk beralih dalam kategori senior malah sudah bersedia untuk mencabar mereka yang lebih berpengalaman dalam acara itu.
“Saya beraksi untuk lubang lima (ketinggian palang bagi kategori senior) sejak berusia 15 tahun.
“Jadi saya tiada masalah untuk bersaing dengan mereka yang lebih berpengalaman,” katanya yang kini berlatih di bawah bimbingan Mustafa Kamal Ali di Sekolah Sukan Negeri (SSN) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussein Onn, Johor.
tamat
© New Straits Times Press (M) Bhd




