KUALA LUMPUR: Selepas dua edisi Cyberjaya Startup Summit pada 2018 dan 2019, kali ini KL Startup Summit (KLSS) 2021 bakal diadakan secara maya sepenuhnya berikutan pandemik COVID-19.
Persidangan itu bertujuan menyokong dan membantu ekosistem syarikat pemula di peringkat awal dan mewujudkan peluang kepada pengasas untuk membina dan membesarkan syarikat pemula mereka.
Pengarah KLSS, Inbaraj Suppiah, berkata persidangan berkenaan berorientasikan tindakan manakala semua rakan kongsi komited untuk bergabung tenaga dalam menyediakan sumber untuk pembangunan ekosistem syarikat pemula di Malaysia.
Bermula 26 hingga 28 Mac ini, persidangan berkenaan mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Microsoft Malaysia sebagai penaja utama tahun ini.
Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K Raman berkata syarikat pemula memainkan peranan penting untuk kelangsungan ekonomi sebagai penggerak inovasi dan memulakan sesuatu yang baru.
“Kami teruja untuk menjadi sebahagian daripada KLSS 2021, memberi ruang kepada syarikat pemula untuk meninggalkan impak yang hebat dalam pasaran dan memacu inovasi digital di rantau ASEAN. Kami amat berbesar hati dapat berganding bahu bersama pengasas lain, demi membantu mereka mencapai lebih banyak kejayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KLSS 2021 yang bertemakan ‘Talk Less, Do More’ ini memberi tumpuan kepada pengasas syarikat pemula untuk memberi inspirasi kepada pengasas baru dan mereka yang bercita-cita untuk menjadi usahawan. Pada masa sama, ia membantu mereka mengenali pelabur, mentor, ahli korporat dan rakan kongsi berkaitan.
KLSS 2021 yang turut mendapat tajaan Stripe, MaGIC, MDEC, Xero, Ampersand Agency, Finnext Capital, ipaymy, Tuas Capital Partners dan The Hive Southeast Asia ini akan berlangsung dengan pelbagai acara membabitkan bual bicara, diskusi interaktif dan panel diskusi.
Ia turut menampilkan siri bengkel masterclass oleh pengasas syarikat pemula yang berjaya, pembangun ekosistem, pelabur, ahli korporat dan juga rakan kongsi kerajaan.
Persidangan ini juga diadakan menerusi gandingan beberapa tema antaranya HealthTech, LawTech, FinTech, Blockchain, MobilityTech dan EdTech dengan beberapa rakan kongsi seperti DoctorOnCall, Fintech Association of Malaysia (FAOM), Blocklime, Access Blockchain Association, SOCAR Malaysia, Forward School dan ramai lagi daripada ekosistem syarikat pemula.
Pada 2019, Cyberjaya Startup Summit mengadakan sesi pitching tertutup antara syarikat pemula terpilih dan pelabur. Untuk KLSS pula, pihak penganjur akan mengadakan acara ala “Shark Tank” bagi meraih dana secara langsung, dengan kerjasama STARTFUND justeru, pihak penganjur sudah menyediakan pelabur terkemuka untuk membantu syarikat pemula.
KL Startup Summit ialah inisiatif yang digerakkan oleh PixaLabs, badan inovasi daripada Pixaworks Creative, sebuah agensi berasal dari Kuala Lumpur. Agensi ini bekerjasama dengan pelbagai syarikat pemula dan program inovasi korporat dengan hasrat untuk melahirkan variasi syarikat pemula berasaskan teknologi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




