kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Tahun 2023 bakal melabuhkan tirai dan pastinya dalam mendepani cabaran ekonomi global bukan perkara yang mudah untuk ditangani, namun ekonomi Malaysia dilihat terus berdaya tahan dan mampu mencapai pertumbuhan di sebalik cabaran pasaran global yang tidak menentu.
Landskap ekonomi dalam negeri pula kekal utuh berdasarkan statistik yang ada.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pentadbiran sedia ada sudah pun membentangkan beberapa dasar penting bagi kelestarian ekonomi negara.
Beliau berkata, antaranya, Kajian Semula Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Polisi ini bersifat jangka sederhana dan jangka panjang, justeru dengan adanya dasar-dasar ini, ia memberi kejelasan dalam usaha kerajaan untuk menaik taraf ekonomi negara yang lebih terangkum dan mampan.
“Pertumbuhan ekonomi negara pula berada pada paras 3.9 peratus bagi sembilan bulan pertama tahun ini.
“Pertumbuhan yang perlahan adalah disebabkan suasana ekonomi global yang lembap berikutan kenaikan kadar faedah yang mendadak serta faktor geo politik yang memberi kesan negatif terhadap rantaian perniagaan.
“Meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran, pentadbiran sekarang terus menerus cuba untuk memperbaiki kedudukan ekonomi negara,” katanya kepada Bisnes Metro.
Mohd Afzanizam berkata, terbaru, rombakan kabinet turut dilaksanakan kerajaan bagi memastikan kelancaran jentera pentadbiran dan melantik tokoh teknokrat untuk mentadbir kementerian kewangan.
Menurutnya, perubahan itu menunjukkan pentadbiran sekarang cakna mengenai keperluan negara dan fleksibel untuk melakukan rombakan sekiranya terdapat keperluan.
“Justeru, usaha untuk memperbaiki ekonomi negara itu jelas dan peringkat seterusnya adalah pelaksanaan dan memastikan impak positif dirasai oleh rakyat,” katanya.
Mengenai perancangan lain yang sepatutnya dilaksanakan pada 2023, Mohd Afzanizam berkata, mungkin dari segi percukaian terutamanya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikatakan tidak sesuai untuk dilaksanakan perlu diperhalusi lagi bagi memastikan hasil kerajaan kekal lestari dan dilaksanakan dengan sebijaknya.
Bagi 2024 yang akan menjelang beberapa hari lagi, beliau berkata, untuk memastikan ekonomi domestik kekal adalah dengan mempercepatkan pelaksanaan peruntukan Belanjawan 2024 serta memastikan dasar yang dilaksanakan konsisten serta strategi komunikasi kepada rakyat dan peniaga jelas serta berterusan.
“Pada saya tahun depan (2024) adalah tahun pelaksanaan dasar yang dirancang pada tahun 2023. Bagi tahun 2025 dan seterusnya adalah untuk menyaksikan hasil pelaksanaan dasar yang dibuat kerajaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



