PRN N9: Isu nelayan tidak berlesen jadi fokus Mohd Faizal di Linggi

PRN N9: Isu nelayan tidak berlesen jadi fokus Mohd Faizal di Linggi

am@hmetro.com.my

Port Dickson: Isu nelayan tidak berlesen menjadi fokus calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli yang menyatakan komitmen menangani masalah terbabit.

Mohd Faizal berkata, ia perlu diberi perhatian kerana ada golongan yang mewarisi pekerjaan itu secara turun-temurun, namun tidak layak mendapatkan lesen nelayan selepas mempunyai pekerjaan lain.

“Kita tahu nelayan ini tidak berpendapatan tinggi. Ada yang kais pagi makan pagi dan ada juga yang ingin menambah pendapatan kerana gaji rendah.

“Memang ada rungutan yang saya terima terutama daripada nelayan tidak berlesen yang tidak layak mendapat lesen sebab sudah bekerja,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih di Kampung Sungai Raya, Linggi, di sini, hari ini.

Katanya, ada antara nelayan tidak berlesen menyuarakan kebimbangan dan berharap supaya sekurang-kurangnya diberikan lesen terhad.

“Jiwa mereka adalah laut dan sungai yang ingin mencari ikan untuk makan sendiri. Kalau ada lebihan, ia menjadi pendapatan kepada mereka.

“Namun apabila tidak ada lesen, mereka sentiasa risau ditangkap, peralatan dirampas dan dikenakan denda oleh pihak penguat kuasa.

“Mereka bukannya mahukan subsidi atau sara hidup tetapi sekurang-kurangnya ada lesen terhad yang membolehkan mereka ke laut untuk menangkap ikan.

“Saya harap Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan memberi pertimbangan sewajarnya kepada golongan itu,” katanya.

Dari aspek pembangunan pembinaan pelabuhan kecerdasan buatan (AI), beliau berkata ia perlu diterima oleh masyarakat.

“Kita sedia maklum apabila pelabuhan ini dibina, ia mungkin menjejaskan pendapatan dan mengurangkan kawasan untuk nelayan menangkap ikan,” katanya.

Beliau berharap, ada pampasan dilaksanakan secara menyeluruh kepada golongan nelayan supaya tiada yang tercicir.

“Golongan nelayan perlu kita bela dan pembangunan boleh berjalan dengan lancar,” katanya yang juga penyandang kerusi DUN Linggi.

Mengulas persaingan menentang Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, di DUN Linggi, Mohd Faizal sedia berdepan saingan dengan hati terbuka.

“Walaupun kedudukan sebagai Menteri Besar adalah kelebihan, ia bukan cabaran besar kerana saya sudah berkhidmat hampir tiga tahun dengan banyak bantuan disampaikan kepada rakyat di kawasan ini.

“Saya yakin dan percaya semua pengundi khususnya di DUN Linggi akan membuat keputusan bijak dalam memilih wakil rakyat yang layak diberikan mandat pada 1 Ogos ini,” katanya.

DUN Linggi menyaksikan saingan tiga penjuru membabitkan Aminuddin, Mohd Faizal dan calon BERSATU, Datuk Zamri Md Said.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top