Teknologi yang memalukan – Arteta

Teknologi yang memalukan – Arteta

London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta sekali lagi berdepan dengan keputusan kontroversi Video Bantuan Pengadil (VAR) ketika pasukannya tumpas 0-2 di laman sendiri kepada West Ham sekali gus terlepas peluang kembali ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

West Ham mendahului selepas 13 minit aksi berlangsung apabila Tomas Soucek menerima hantaran Jarrod Bowen yang dikatakan mengambil bola dari luar kawasan permainan.

Pemeriksaan VAR mengambil masa hampir lima minit untuk disiapkan kerana kedudukan Bowen menghalang sudut kamera utama dan bermakna keputusan kekal bola masih dalam kawasan permainan.

“Ia sangat memalukan dengan teknologi yang kita ada ia tidak begitu jelas sama ada bola berkenaan berada di dalam atau luar kawasan permainan,” katanya.

Arteta berkata, pasukannya berhak mendapat keputusan lebih daripada itu apabila menguasai perlawanan.

“Kami mahu berada di puncak dan hari ini kami sangat, sangat kecewa,” katanya kepada BBC.

“Kami mempunyai begitu banyak penguasaan dalam permainan. Kami berada dalam kedudukan yang sangat baik. Hari ini adalah malam yang mengecewakan. Kami perlu bangkit untuk perlawanan menentang Fulham.”

Pengurus West Ham, David Moyes meraikan pasukannya melonjak ke tangga keenam liga.

“Kami bukannya salah satu pasukan yang terbaik. Kami cuba untuk bangkit dan memperkembangkan pasukan. Bagi West Ham berada dalam saingan Eropah ia adalah tempoh yang sangat hebat,” katanya kepada Amazon Prime.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top