Israel mahu Blair jadi pengantara dengan negara Arab terima pelarian Gaza

Israel mahu Blair jadi pengantara dengan negara Arab terima pelarian Gaza

TEL AVIV – Pemimpin Israel yang mahu menjarah tanah Palestin di Gaza kini sedang mempertimbangkan untuk menjadikan Tony Blair sebagai pengantara negara Arab.

Bekas Perdana Menteri Brirtain itu akan memikul tanggungjawab untuk berbincang dengan negara-negara Arab supaya menerima pelarian daripada Gaza.

Media Israel, Channel 12 melaporkan, Blair tiba di Israel minggu lalu dan bertemu dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan Menteri Kabinet Perang, Benny Gantz.

Laporan itu mengatakan jika rancangan itu menjadi kenyataan, Blair akan bertanggungjawab menyemak pilihan negara yang menerima pelarian Gaza.

Perkembangan terkini itu berlaku ketika kerajaan Israel masih belum membincangkan nasib Gaza selepas perang yang berterusan.

Ini kerana perbincangan yang dirancang telah ditangguhkan oleh Netanyahu kerana bimbang mencetuskan krisis dengan rakan sekutu.

Parti-parti gabungan sayap kanan mendesak penempatan pendatang Yahudi di Gaza dan menggalakkan rakyat Palestin meninggalkan wilayah tersebut.

Kumpulan itu dengan tegas menolak sebarang rancangan pasca perang yang merangkumi peranan mentadbir bagi Pihak Berkuasa Palestin di Gaza.

Menteri Kewangan Israel Bezalel Smotrich sebelum ini “menggalakkan penghijrahan secara sukarela rakyat Palestin” dari Gaza.

“Kita perlu menggalakkan imigresen dari sana. Jika terdapat 100,000-200,000 orang Arab di Semenanjung dan bukan dua juta, keseluruhan perbualan mengenai hari selepas [perang] akan berbeza sama sekali,” kata Smotrich kepada Radio Tentera Israel.

“Mereka mahu pergi. Mereka telah tinggal di sebuah ghetto selama 75 tahun dan memerlukan,” tambah Smotrich, Ketua Parti Agama Zionisme berhaluan kanan.

Israel telah menyerang Semenanjung Gaza dari udara dan darat sejak serangan Hamas pada 7 Oktober, membunuh sekurang-kurangnya 21,822 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan 56,451 yang lain, menurut pihak berkuasa kesihatan di kawasan itu. – Agensi

Scroll to Top