Suami ketiga maut kemalangan, Ruzita hilang lagi tempat bergantung

Suami ketiga maut kemalangan, Ruzita hilang lagi tempat bergantung

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: “Dia selalu cakap ‘tenunglah wajah saya lama-lama, bila dah tak ada nanti susah’. Saya tak sangka kata-kata itu benar-benar menjadi kenyataan,” kata Ruzita Amalin Abdullah, 27, mengenai suaminya, Muhd Fadzeli Nameram yang meninggal dunia dalam kemalangan, hari ini.

Ruzita berkata, sukar untuknya menerima hakikat suaminya yang berusia 32 tahun itu sudah tiada di sisi, apatah lagi hari ini genap dua bulan mereka mendirikan rumah tangga.

Muhd Fadzeli meninggal dunia selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Yaakubiah, Lundang di sini, dengan Ruzita dimaklum kejadian itu oleh kakak iparnya pada 4.30 petang.

Menurut Ruzita, Allahyarham adalah suami ketiga yang dikahwininya selepas suami pertama meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang dan perkahwinan kedua berakhir dengan perceraian.

“Kini saya sekali lagi hilang tempat bergantung selepas suami yang dikahwini dua bulan lalu meninggal dunia dalam kemalangan,” katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).

Ibu dua anak hasil perkahwinan pertama itu memberitahu dia mengetahui kejadian menimpa suaminya ketika sedang bekerja di kilang di Pengkalan Chepa.

“Ketika itu arwah suami keluar untuk membeli alat ganti kenderaan. Sebelum ke tempat kerja pagi tadi, saya sempat bersalaman dengannya.. itu rutin kami.

“Saya tidak sangka pada petang tadi saya menerima berita pemergiannya,” katanya, sayu.

Menurutnya, jenazah Muhd Fadzeli dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chicha Menyabung, Sering selepas selesai bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri mengesahkan kemalangan yang mengorbankan mangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top