Kuala Lumpur: Lagi kes membabitkan penahanan rakyat Malaysia di luar negara berkaitan dadah, dengan kejadian terbaharu melibatkan tiga wanita yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, pada Isnin lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya dimaklumkan oleh Polis Republik Indonesia (POLRI) mengenai penahanan tiga wanita berusia antara 30 hingga 39 tahun yang berasal dari Sabah.
Beliau berkata, siasatan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan merupakan penagih. Bagaimanapun, jumlah dadah yang dirampas oleh POLRI adalah kecil serta dipercayai untuk kegunaan sendiri.
“Kes penahanan tiga wanita ini juga didapati tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes penahanan seorang juruterbang mahupun seorang lelaki berusia 22 tahun di Indonesia sebelum ini,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Waspada terbitan Bernama Radio, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan petugas di Terminal 2F lapangan terbang berkenaan berjaya mematahkan cubaan tiga penumpang wanita membawa masuk dadah yang disembunyikan di dalam bagasi dan kasut mereka selepas tiba menerusi penerbangan dari Kota Kinabalu.
Sementara itu, mengulas rentetan kes tangkapan dadah membabitkan rakyat Malaysia di luar negara, Hussein tidak menafikan kedudukan geografi negara menjadi antara faktor Malaysia dijadikan laluan transit oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
“Sindiket pengedaran dadah ini kebanyakannya beroperasi dari negara di utara Malaysia dan negara kita menjadi laluan transit sebelum dadah dibawa ke Indonesia, Singapura, Filipina serta beberapa negara lain.
“Sehubungan itu, kita akan mengetatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada di pintu masuk dan keluar negara bagi memastikan Malaysia tidak terus dilabel sebagai negara transit dadah,” katanya.
Sementara itu, bagi membuktikan ketegasan berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memerangi jenayah rentas sempadan, Hussein mendedahkan JSJN berjaya merampas 89 tan pelbagai jenis dadah di seluruh negara sepanjang tahun lepas.
Beliau berkata, momentum operasi penguatkuasaan itu kekal konsisten pada tahun ini dengan hampir 46 tan dadah berjaya dirampas dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




