firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Siapakah peledak berikutnya yang bakal menyertai lima legenda skuad Harimau Malaya yang pernah meledak di pentas Piala Asia?
Itu persoalan yang pastinya dinanti-nantikan peminat bola sepak negara selepas Indra Putra Mahayuddin muncul pemain terakhir Malaysia yang meledak gol pada saingan Piala Asia yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 2007 lalu.
Berdasarkan semakan Arena Metro, hanya lima pemain negara yang pernah mencetak nama selaku penjaring di Piala Asia dalam tiga penampilan Malaysia di pentas tertinggi itu.
Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari atau ‘Supermokh’ adalah anak Malaysia pertama yang meledak gol di Piala Asia pada 1976 di Iran ketika skuad Harimau Malaya terikat 1-1 dengan China.
Selepas itu, tiga peledak iaitu Tukamin Bahari, Zulkifli Hamzah dan Abdah Alif meledak gol di temasya 1980 di Kuwait sebelum skuad negara kembali beraksi di Piala Asia pada 2007 selaku tuan rumah bersama tiga negara Asean lain dengan Indra Putra adalah pemain terakhir menjaringkan gol.
Pada kempen 2007 itu, kem negara hanya mampu meledak satu gol daripada tiga aksi peringkat kumpulan menerusi Indra Putra ketika Malaysia tumbang 1-4 kepada China.
Dua lagi aksi berikutnya menyaksikan pasukan kebangsaan tumbang 0-5 dan 0-2 di tangan Uzbekistan dan Iran.
Kini penantian untuk melihat bintang berikutnya yang bakal mencetak nama selaku penjaring skuad Harimau Malaya makin hampir apabila anak buah Kim Pan-gon akan membuka tirai Piala Asia di Qatar pada 15 Januari ini.
Keterujaan itu turut dikongsi oleh Indra Putra yang mengakui tidak sabar untuk melihat pasukan negara bertanding di pentas Asia itu nanti.
“Memori jaringan itu memang masih segar diingatan. Gol itu saya anggap bermakna walaupun kami tewas kerana ia dilakukan dalam pertandingan Piala Asia yang cukup tinggi prestijnya.
“Saya lihat pasukan kali ini ada potensi jauh dan memiliki keupayaan untuk menjaringkan gol dengan barisan pemain yang ada,” katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.
Ditanya siapakah pemain yang paling dinantikan, penyerang berusia 43 tahun itu akui mahu melihat aksi Arif Aiman Hanapi di saingan Piala Asia.
“Kita tahu Arof Aiman ini cukup tenang apabila mengawal bola dan kemampuan dia mengatasi pertahanan lawan.
“Saya ingin lihat dia (Arif Aiman) dan harap dia mampu menyerlahkan bakatnya lagi di Piala Asia dan pergi lebih jauh,” katanya yang masih lagi beraksi di Liga Malaysia bersama Kelantan United musim lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




