am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengumumkan melepaskan jawatan Pengerusi DAP Negeri Sembilan.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat sebagai mengambil tanggungjawab atas prestasi parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Loke yang juga Menteri Pengangkutan bagaimanapun menegaskan keputusan itu diambil atas dasar peribadi tanpa tekanan mana-mana pihak.
“Tiba masa untuk saya berundur sebagai Pengerusi Negeri dan menyerahkan kepada pimpinan negeri untuk melantik dan memilih daripada Ahli Jawatankuasa sedia ada,” katanya ketika sidang media selepas mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP di sini, hari ini.
Dalam PRN Negeri Sembilan Sabtu lalu, DAP memenangi sembilan daripada 11 kerusi DUN yang ditandingi.
Loke sendiri gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah selepas tewas kepada calon MCA, Siow Kong Choon, dengan majoriti 688 undi.
DAP juga kehilangan kerusi DUN Repah apabila S Veerapan tewas tipis kepada calon BN, Koh Kim Swee, dengan majoriti 444 undi.
Loke berkata, peletakan jawatannya akan berkuat kuasa selepas mesyuarat kepimpinan DAP Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung dalam minggu ini.
“Peletakan jawatan akan berkuat kuasa apabila saya memanggil mesyuarat DAP Negeri Sembilan dalam minggu ini.
“Jadi saya sekali lagi akan mempengerusikan mesyuarat untuk membuat usul bagi memilih pengerusi baharu. Keputusan itu akan dilaksanakan dalam beberapa hari akan datang,” katanya.
Mengulas mengenai calon penggantinya, Loke berkata, DAP Negeri Sembilan mempunyai ramai pemimpin berpengalaman dan berkelayakan untuk menerajui parti di peringkat negeri.
“Kita ada ramai calon berpengalaman. Ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah pun (menyandang jawatan selama) empat penggal malah ada yang menjadi ahli Parlimen dan EXCO.
“Saya benarkan ahli jawatankuasa untuk membuat pemilihan mereka. Saya tidak ada pilihan khusus.
“Ini masa sesuai untuk melantik seorang pengerusi parti negeri yang baharu selepas saya memegang jawatan itu selama 22 tahun,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




