am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Tiga rakyat Malaysia yang menaiki kereta api dari Bangkok ke Hat Yai ditahan polis Thailand selepas 87 kilogram (kg) syabu bernilai kira-kira RM4.3 juta ditemui disembunyikan dalam bagasi mereka hari ini.
Jurucakap polis Thailand berkata, ketiga-tiga suspek ditahan di Stesen Hat Yai dalam satu operasi bersama membabitkan unit pencegahan narkotik Polis Hat Yai, pasukan polis keretapi, polis pelancong dan Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Wilayah 9.
Menurut jurucakap itu, suspek dalam perjalanan dari Bangkok ke Hat Yai sebelum mereka dipintas dan diperiksa polis.
“Anggota menemukan dadah methamphetamine kristal (syabu) disembunyikan dalam tiga beg pakaian beroda dan tiga beg galas,” katanya.
Beliau berkata, dadah dipercayai untuk dihantar kepada satu sindiket pengedaran dadah di Malaysia.
“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek ditawarkan RM8,000 seorang sebagai upah untuk membawa dadah ke destinasi ditetapkan.
“Siasatan sedang dipergiatkan bagi mengenal pasti dalang dan rakan subahat dalam sindiket pengedaran dadah rentas sempadan ini, sama ada di Thailand mahupun di luar negara,” katanya.
Ketiga-tiga suspek kini disiasat mengikut undang-undang dadah Thailand.
© New Straits Times Press (M) Bhd




