am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Kerja Raya (KKR) telah melaksanakan langkah jangka sederhana bagi menangani isu banjir kilat yang berlaku di Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS) berhampiran Hentian Sebelah Nilai pada Mac lalu termasuk menaik taraf kapasiti saliran dan pembinaan tembok konkrit bertetulang (RC) baharu bagi mengurangkan risiko kejadian sama berulang.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerja penambahbaikan itu turut membabitkan pemasangan pintu flap pada sistem saliran bagi menghalang air sungai daripada memasuki semula sistem perparitan lebuh raya ketika hujan lebat.
“Beberapa langkah jangka pendek turut dilaksanakan oleh pihak syarikat konsesi PLUS Bhd dengan memasang penghadang banjir sementara iaitu New Jersey Barriers yang dibalut kanvas di lokasi kejadian di sepanjang laluan utama PLUS dan di sekeliling outlet pembetung di Hentian Sebelah Nilai untuk mengurangkan risiko air melimpah.
“Di samping itu, pemeriksaan berkala dan penyelenggaraan rutin terhadap parit, pembetung dan struktur saliran turut dipastikan dilakukan mengikut jadual bagi memastikan tiada mendapan atau sampah yang menghalang aliran air terutamanya pada musim hujan dan monsun,” katanya menerusi teks jawab lisan Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Dr Jufitri Joha berhubung langkah-langkah kementerian dalam memastikan kejadian banjir kilat di KM286 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Hentian Sebelah Nilai tidak berulang.
Sebelum ini, beberapa video dimuat naik di media sosial menunjukkan banjir kilat dekat lebuh raya PLUS berhampiran Hentian Sebelah Nilai pada 5 Mac lalu.
Kejadian kira-kira jam 7 malam itu dipercayai berlaku selepas hujan lebat sejak jam 6.30 petang dan turut dilaporkan pihak PLUS menerusi platform dalam talian mereka.
Alexander berkata, insiden banjir yang berlaku pada 5 Mac lalu itu menyebabkan laluan di kedua-dua arah Lebuhraya Utara-Selatan di Kilometer (KM) 287.0, antara Persimpangan Nilai Utara dan Persimpangan Putra Mahkota, tidak dapat dilalui kenderaan.
“Kajian jurutera perunding mendapati kejadian itu berpunca daripada kenaikan mendadak paras air Sungai Buah akibat hujan lebat di Pekan Nilai yang bermula sekitar jam 5.30 petang.
“Berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Batang Benar meningkat kepada 19.87 meter, melebihi paras bahaya 19 meter sebelum melimpah ke Sungai Buah dan seterusnya memasuki kawasan Hentian Sebelah Nilai serta laluan utama lebuh raya,” katanya.
Menurut beliau, aras banjir yang direkodkan di kawasan Hentian Sebelah Nilai ketika kejadian ialah sekitar 0.3 meter sebelum air mula surut pada jam 7.32 malam dan laluan dibuka semula selepas disahkan selamat.
Alexander berkata, Kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini turut memaklumkan bahawa dua projek pembangunan berskala besar, iaitu projek perumahan dan tapak perkuburan yang sedang menjalankan kerja tanah berhampiran lebuh raya dikenal pasti sebagai punca utama banjir kilat kerana kolam tadahan di tapak projek belum berfungsi sepenuhnya.
Dalam masa sama, beliau berkata, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menyarankan kerajaan negeri Perak dan pihak berkuasa tempatan memastikan semua projek pembangunan berhampiran lebuh raya dan sungai dilaksanakan dalam keadaaan terkawal dan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Kawasan kerja tanah, cerun dan kawasan potongan tanah perlu mematuhi Pelan Kawalan Hakisan dan Sedimen (ESCP) seperti membina perangkap kelodak, penanaman rumput dan perangkap kelodak bagi mengelakkan hakisan tanah mengalir secara terus ke sistem perparitan dan sungai yang berpotensi mengakibatkan gangguan kepada sistem tersebut.
“Sistem perparitan juga hendaklah disediakan mengikut Manual Saliran Mesra Alam (MSMA).
© New Straits Times Press (M) Bhd




