am@hmetro.com.my
Beaufort: Hanya kerana perselisihan berkaitan tuntutan wang RM60, seorang lelaki cedera di kepala dan ibu jari selepas dipercayai ditetak dengan parang di Kampung Kelansatan, Kuala Penyu, dekat sini, Isnin lalu.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 64 tahun di kawasan berkenaan selain merampas sebilah parang sepanjang kira-kira 70 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan tuntutan wang RM60 antara mangsa dan suspek.
“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota Balai Polis Kuala Penyu menahan suspek di kawasan kejadian dan merampas sebilah parang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes.
“Mangsa sudah menerima rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, suspek dibawa untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.
Sementara itu, beliau turut menasihatkan masyarakat supaya menyelesaikan sebarang perselisihan secara baik dan tidak bertindak sehingga boleh menyebabkan pergaduhan serta kecederaan.
“Orang ramai juga dinasihatkan mengelakkan pengambilan minuman memabukkan secara berlebihan kerana boleh menyebabkan hilang pertimbangan dan meningkatkan risiko berlakunya kejadian tidak diingini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




