
Abdul Halim (kiri) bersama Mohd Sumali (tengah) mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Induk World Cup Sepak Takraw Kuala Lumpur di sebuah hotel di ibu negara hari ini. Foto Bernama
MALAYSIA diberi penghormatan menjadi negara pertama untuk Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) memperkenalkan sistem ranking dunia buat julung kali bagi sukan itu dalam Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang bakal berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini dari 19 hingga 26 Mei depan.
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, pengenalan sistem ranking pada kejohanan itu merupakan antara usaha bagi membolehkan sukan sepak takraw mendapat pengiktirafan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk dipertandingkan dalam temasya Sukan Olimpik.
“…mungkin selepas ini ISTAF hanya membenarkan negara yang ada ranking sahaja masuk kejohanan berprestij seperti Sukan Asia sama seperti badminton dan sukan-sukan lain.
“Ini adalah proses kemas kini bagi membolehkan mendapat pengiktirafan daripada IOC dan kalau sepak takraw masuk Sukan Olimpik sudah ada sistem yang diperkenalkan dan tidak cacamarba sebab itu Piala Dunia di Malaysia ini amat penting,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Piala Dunia Sepak Takraw di sini hari ini.



