KOTA KINABALU – Usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Korea Selatan terus diperkasakan selain melonjakkan peluang perniagaan menerusi penganjuran Malaysia Fair in Seoul 2026 yang dijadual berlangsung pada 7 dan 8 November ini di Dongdaemun Plaza, Seoul.
Penganjuran julung kali itu dijangka menghimpunkan sekitar 50 peserta pameran daripada pelbagai sektor termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pelancongan, pendidikan tinggi, penerbangan, perhotelan serta industri pertanian bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan Malaysia ke pasaran Korea Selatan.
Pengarah Urusan Fazbuzz Events & Media Sdn Bhd, Fazura Azima Ag Sha berkata, penganjuran itu diwujudkan sebagai platform pelbagai sektor bagi memperkukuh kerjasama perdagangan, pelancongan, kebudayaan, inovasi dan pendidikan tinggi antara kedua-dua negara.Menurutnya, Malaysia dan Korea Selatan telah lama menikmati hubungan dua hala yang kukuh menerusi kerjasama ekonomi serta pertukaran budaya, justeru Malaysia Fair in Seoul menjadi satu lagi inisiatif untuk membawa keunikan Malaysia secara terus kepada masyarakat Korea Selatan.
“Malaysia Fair in Seoul ialah sebuah platform berbilang sektor yang direka khas untuk memperkukuhkan hubungan perdagangan, pelancongan, kebudayaan, inovasi dan juga pendidikan tinggi antara Malaysia dan Korea Selatan.
“Ini bukan sekadar pameran barangan pengguna, sebaliknya sebuah platform strategik yang merapatkan hubungan perniagaan dan budaya, selain mengambil peluang sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 yang kini dilanjutkan sehingga 2027,” katanya pada sidang akhbar penganjuran ekspo tersebut di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, peningkatan permintaan terhadap produk halal di Korea Selatan membuka peluang besar kepada syarikat Malaysia, khususnya PKS, untuk menembusi pasaran negara itu.
Katanya, selain sektor pelancongan, penyertaan turut dibuka kepada syarikat makanan dan minuman, pertanian, pendidikan serta industri berkaitan yang berpotensi mengembangkan pasaran ke Korea Selatan.
“Ketika ini masyarakat Korea semakin berminat terhadap produk halal, selain melihat Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang selamat, berbaloi dari segi kos dan sesuai untuk konsep edu-tourism serta eko-tourism.
“Kami juga menjemput seluruh komuniti perniagaan di Malaysia menggunakan platform strategik ini untuk mempromosikan produk masing-masing dan meneroka peluang menembusi pasaran global di Korea Selatan,” katanya.
Diminta mengulas pemilihan Seoul sebagai lokasi penganjuran, beliau berkata, Korea Selatan merupakan antara pasaran strategik kerana rakyat negara itu gemar melancong selain mempunyai minat tinggi terhadap makanan dan budaya Malaysia.
Menurutnya, walaupun dunia masih berdepan ketidaktentuan ekonomi serta krisis tenaga, penganjuran Malaysia Fair in Seoul dilihat penting bagi mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong Korea Selatan.
“Kami percaya yang mungkin ada sebahagian industri masih merasakan isu kos menjadikan sukar tetapi ada juga organisasi yang mempunyai kaitan masih perlu memikirkan untuk melakukan pelaburan, jadi mereka teruskan dan perlu ubah situasi jadi peluang,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, penganjuran di Dongdaemun Plaza turut memberi kelebihan kerana lokasi itu menerima lebih 20,000 pengunjung sehari, sekali gus meningkatkan pendedahan kepada peserta pameran.
Selain program business-to-consumer (B2C) selama dua hari, Fazura Azima berkata, pihaknya turut merancang sesi business-to-business (B2B) pada 9 November bagi membolehkan peserta menjalankan padanan perniagaan dengan syarikat-syarikat Korea Selatan yang dikenal pasti oleh Tourism Malaysia Seoul dan MATRADE Seoul.
“Kami mendapat sokongan penuh serta pengiktirafan daripada Kedutaan Malaysia di Seoul, Tourism Malaysia Seoul dan MATRADE Seoul.
“Selain itu, kami turut melantik rakan pengendali tempatan di Korea Selatan bagi menguruskan operasi di lokasi, sekali gus membantu mengatasi kekangan komunikasi,” katanya.



