
Hackney penjana gol tunggal buat Middlesbrough di Riverside. Foto Agensi
GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea dikejutkan kekalahan 0-1 kepada kelab Liga Kejuaraan, Middlesbrough pada perlawanan pertama separuh akhir Piala Liga di Stadium Riverside pada Rabu.
Jaringan minit ke-37 oleh bintang muda berusia 21 tahun, Hayden Hackney yang menyudahkan hantaran Isaiah Jones, membolehkan The Boro menceriakan penyokong-penyokong di laman sendiri ketika Cole Palmer mempersiakan dua peluang untuk gergasi London itu.
Kejayaan Middlesbrough bertahan selepas itu, biarpun Chelsea bangkit mendominasi menyaksikan pasukan seliaan Mauricio Pochettino perlu melakukan lebih banyak kerja rumah menjelang timbal balik kedua di Stadium Stamford Bridge pada 24 Januari depan.
Pemain-pemain Chelsea diejek beberapa penyokong The Blues selepas perlawanan dengan Thiago Silva bertindak sebagai pendamai yakin dapat menebus defisit satu gol di London.



