mdroji@bh.com.my
Kuching: Kerajaan memberi jaminan bekalan diesel di Sabah dan Sarawak mencukupi walaupun terdapat laporan terpencil mengenai kekurangan di kawasan tertentu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, secara keseluruhannya sumber bekalan bahan api itu berada pada tahap stabil dan terkawal.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha memastikan bekalan diesel mencukupi bagi memenuhi keperluan rakyat dan industri di seluruh negara.
“Insya-Allah sumber bekalan mencukupi, namun bagi memastikan kelangsungan, kestabilan dan keterjaminan bekalan, kita perlu memastikan tiada gangguan atau ketirisan dalam rantaian bekalan,” katanya ketika ditemui pada Program Sentuhan Kasih dan Jualan Rahmah MADANI di Dewan Guna Sama Kampung Bratan/Asah, Jalan Puncak Borneo di sini, malam ini.
Menurutnya, langkah penguatkuasaan bagi mengelakkan ketirisan diperkukuhkan melalui jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Walaupun bekalan mencukupi, sebarang ketirisan dalam rantaian bekalan boleh menjejaskan pengagihan dan menyebabkan gangguan kepada pengguna,” katanya.
Beliau turut mengaitkan situasi semasa dengan krisis tenaga global yang menyaksikan beberapa negara masih bergelut mendapatkan bekalan bahan api mencukupi.
“Dalam keadaan ini, ada pihak yang sanggup mendapatkan sumber bekalan pada apa jua kos, sebab itu kita perlu memastikan bekalan negara tidak diseleweng,” katanya.
Menurutnya, kerajaan memberi perhatian serius terhadap isu kekurangan bekalan yang dilaporkan, walaupun kebanyakannya berpunca daripada gangguan logistik, bukannya kekurangan sebenar.
“Gangguan itu membabitkan kelewatan penghantaran ke pelabuhan, seterusnya ke depoh dan stesen minyak, walaupun bekalan asas sebenarnya mencukupi.
“Isu sama turut berlaku secara terpencil di Semenanjung Malaysia, namun berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat hasil tindakan segera pihak berkuasa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata masyarakat digalakkan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat stesen minyak yang mengalami kehabisan bekalan melalui platform aduan yang disediakan kementerian.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan terus memperkukuh Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) sebagai inisiatif membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
“Program itu kini dilaksanakan secara berjadual tetap di seluruh negara dengan sekurang-kurangnya tiga siri bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus memberi akses kepada barangan keperluan pada harga lebih rendah.
“Sambutan terhadap program itu amat menggalakkan dan kerajaan akan terus memperluas serta memperkukuh pelaksanaannya sebagai langkah intervensi berdepan cabaran kos hidup dan ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




