
Pemain Jepun, Shogo Taniguchi mengasak pertahanan Vietnam pada perlawanan di antara Jepun menentang Vietnam peringkat Kumpulan D sempena Piala Asia 2023 di Stadium Al Thumama. Foto Bernama
BEKAS penyerang Liverpool, Takumi Minamino memainkan peranan penting dalam kejayaan Jepun yang bangkit menewaskan Vietnam 4-2 pada perlawanan pembukaan Kumpulan D saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Thumama di sini pada Ahad.
Pemain berusia 28 tahun yang kini beraksi bersama pasukan AS Monaco mempamerkan sentuhan berbisanya apabila menjaringkan dua gol selain turut melakukan satu bantuan jaringan demi memastikan skuad Samurai Biru meraih kemenangan penting dalam pertembungan dramatik itu.
Jepun di bawah kendalian Hajime Moriyasu tidak menunggu lama untuk berada di hadapan selepas Minamino memanfaatkan lantunan semula bola dalam kotak penalti, menewaskan penjaga gol lawan Nguyen Filip pada mint ke-11.
Bagaimanapun, lima minit kemudian pasukan terbaik Asia di ranking dunia ke-17 itu dikejutkan dengan gol penyamaan Vietnam di bawah bimbingan bekas jurulatih Jepun Philippe Troussier hasil tandukan cantik penyerang Nguyen Dinh Bac berpunca sepakan penjuru kaptennya Do Hung Dung.



