'Saya masih Lee Zii Jia'

'Saya masih Lee Zii Jia'

helmi.talkah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Saya masih Lee Zii Jia dan saya hanya mahu menjadi Lee Zii Jia.

Itu luahan yang dikongsikan jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menerusi hantaran pada akaun Instagram miliknya, malam tadi susulan kejayaan muncul juara Seluruh England buat kali pertama dalam kerjayanya, kelmarin.

Pemain berusia 23 tahun, berkata kejayaan muncul juara Seluruh England akan menjadi permulaan babak baharu yang positif dalam kerjayanya.

“Saya tidak akan lupakan segala kekecewaan dan usaha yang saya lakukan untuk melangkah sejauh ini. Terima kasih sekali lagi kepada semua.

“Ini adalah pengakhiran bagi Seluruh England 2021, saya masih Lee Zii Jia dan Saya hanya mahu menjadi Lee Zii Jia,” katanya.

Pemain ranking ke-10 dunia itu mendedikasikan kejayaannya buat keluarga, jurulatih, kakitangan sokongan, rakan sepasukan dan seluruh pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Maaf, saya tidak dapat menyebut setiap seorang tetapi anda tahu siapa anda. Saya tidak akan melangkah sejauh ini tanpa kerja keras dan usaha anda semua, terima kasih. Kita berjaya melakukannya bersama dan kita adalah juara.

“Tidak dilupakan juga, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, terima kasih di atas kesabaran dan kepercayaan yang anda berikan. Saya gembira saya tidak mengecewakan anda kali ini.

“Terima kasih juga kepada penaja saya, 100Plus dan Phiten Malaysia, terima kasih di atas sokongan dan kepercayaan. Terima kasih kepada seluruh peminat saya di seluruh dunia, saya tahu anda bersorak di depan televisyen anda. Badminton memerlukan anda,” katanya.

Zii Jia muncul juara selepas menundukkan juara bertahan yang juga pemain nombor dua dunia dari Denmark, Viktor Axelsen 30-29, 20-22, 21-9 dalam aksi final yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham.

“Ia adalah detik istimewa yang tidak akan dilupakan. Perasaan saya bercampur-baur dan tidak perkataan yang boleh menggambarkan perasaan saya.

“Apabila saya memasuki bilik persalinan, saya menerima banyak panggilan telefon dan mesej bagi mengucapkan tahniah kepada saya. Terima kasih di atas ucapan anda. Terima kasih juga kepada lawan saya Viktor Axelsen kerana menjadikan ia perlawanan yang sangat menakjubkan,” kata Zii Jia.

Kejayaan pemain berasal dari Kedah itu menamatkan penantian selama empat tahun Malaysia bagi muncul juara perseorangan lelaki selepas kali terakhir dilakukan Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

Dia kini meletakkan namanya sebaris dalam senarai pemain Malaysia yang memenangi trofi kejohanan berprestij itu bersama legenda, Wong Peng Soon, Datuk Eddy Choong, Muhammad Hafiz Hashim dan Chong Wei.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top