New York: Donald Trump berkata, beliau sendiri tidak sanggup membayar harga tiket melebihi AS$1,000 (RM3,900) untuk perlawanan pertama Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat (AS), sekali gus meningkatkan tekanan terhadap FIFA berhubung harga tiket yang dianggap terlalu mahal.
“Saya tidak tahu angka itu,” kata Trump kepada New York Post sambil menambah, “Saya memang mahu berada di sana, tetapi secara jujurnya saya juga tidak akan membayarnya.”
Ahli politik AS dan kumpulan penyokong antarabangsa sebelum ini mengkritik struktur harga tiket FIFA bagi kejohanan yang akan bermula Jun ini, dengan Football Supporters Europe menyifatkannya sebagai “pengkhianatan besar-besaran.”
Trump dilihat bimbang rakyat AS berpendapatan rendah — kumpulan pengundi penting beliau akan terhalang daripada menghadiri Piala Dunia.
“Jika orang dari Queens dan Brooklyn serta semua orang yang menyokong Donald Trump tidak dapat pergi, saya akan kecewa. Tetapi pada masa sama, ia tetap satu kejayaan luar biasa.”
“Saya mahu rakyat yang mengundi saya dapat pergi,” tambah Trump
yang turut mengambil kredit kerana berjaya membawa Piala Dunia ke AS ketika penggal pertamanya sebagai presiden.
Trump mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Fifa, Gianni Infantino, yang kelmarin menegaskan badan induk bola sepak dunia itu perlu mengambil kesempatan terhadap undang-undang Amerika Syarikat yang membenarkan tiket dijual semula pada harga ribuan dolar melebihi harga asal.
Infantino berkata FIFA menerima lebih 500 juta permintaan tiket untuk Piala Dunia 2026, berbanding kurang daripada 50 juta permintaan secara keseluruhan bagi edisi 2018 dan 2022.
Presiden FIFA itu turut menjelaskan bahawa 25 peratus tiket peringkat kumpulan dijual pada harga di bawah AS$300 (RM1,172).
Kumpulan penyokong pula membandingkan harga tiket kali ini dengan Piala Dunia 2022 di Qatar.
Harga tiket paling mahal untuk final 2022 adalah sekitar AS$1,600 (RM6,225) pada harga asal, manakala bagi final 2026 ia mencecah kira-kira AS$11,000 (RM43,000).
© New Straits Times Press (M) Bhd




