
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Nor Saiful Zaini
SKUAD hoki lelaki kebangsaan terpaksa menelan hakikat bahawa mereka masih belum cukup garang untuk bersaing dengan pasukan handal lain pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, selepas terus kempunan melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu.
Keputusan seri 3-3 menentang Pakistan pada kempen kelayakan Sukan Olimpik di Muscat, Oman, menyaksikan Speedy Tigers bukan sahaja gagal menempatkan diri ke separuh akhir, malah menamatkan saingan Kumpulan A di tempat tercorot dengan satu mata di belakang China (3 mata), Pakistan (4 mata) dan Great Britain yang muncul juara kumpulan (9 mata).
Bekas penyerang kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, kelemahan ketara adalah di benteng pertahanan sehingga menyaksikan mereka tewas 2-3 kepada China dalam aksi pertama Isnin lepas, selain bolos tiga kali ketika diikat Pakistan semalam.
Menurut beliau, hal itu merupakan antara faktor yang meranapkan impian pasukan bimbingan A. Arul Selvaraj untuk menamatkan kemarau 24 tahun beraksi di Sukan Olimpik.


