am@hmetro.com.my
Ipoh: Suspek dalam kejadian anggota polis diserang sekumpulan warga asing yang dalam keadaan mabuk seperti video yang tular sejak semalam, sudah dijatuhi hukuman oleh mahkamah pada Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.10 pagi 28 Mei lalu berdekatan sebuah kedai serbaneka di SOHO Ipoh, di sini, membabitkan empat lelaki warganegara Afghanistan bersama dua anggota polis Balai Pekan Baru.
Katanya, suspek berusia antara 25 hingga 28 tahun yang bekerja sebagai tukang cuci itu didapati bergaduh sesama mereka sebelum dua daripada suspek bertindak agresif dengan menyerang anggota polis sehingga berlaku pergelutan semasa polis menjalankan tugas.
Muhammad Najib berkata, kesemua suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Pekan Baru untuk tindakan lanjut, namun semasa berada di sana dua daripada suspek sekali lagi bertindak agresif di hadapan anggota polis yang bertugas.
“Hasil siasatan mendapati keempat-empat lelaki itu berada dalam keadaan mabuk dan terbabit dalam pergaduhan sesama sendiri sebelum ketibaan pihak polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan, Seksyen 353 kanun sama dan Seksyen 90 Akta Polis 1967. Kesemua suspek sudah dituduh di mahkamah pada 12 Jun 2026,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




