Kempen galakkan orang ramai membeli-belah dilancar

Kempen galakkan orang ramai membeli-belah dilancar

suzalina@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melancarkan ‘Kempen Shop and Be Rewarded’ bagi merangsang orang ramai berbelanja di pusat beli-belah tertentu.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata usaha itu adalah untuk membantu industri beli-belah Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Katanya, kempen itu yang akan diadakan pada 26 hingga 28 Mac ini membabitkan 30 pusat beli-belah di seluruh negara bertujuan menggalakkan perbelanjaan di dalam negara ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Mengulas lanjut beliau berkata, melalui kempen terbabit, orang ramai yang melakukan pembelian minimum sebanyak RM50 akan menerima diskaun

sebanyak RM10 di pusat beli-belah dan peruncit yang mengambil bahagian.

“Kementerian begitu komited dalam mempromosikan Malaysia sebagai sebuah destinasi beli-belah bertaraf dunia yang utama di rantau ini dan selaras itu dengan kerjasama Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPKM), ‘Kempen Shop and Be Rewarded’ ini akan dilaksanakan.

“Kempen ini adalah salah satu inisiatif kerajaan dalam meningkatkan jumlah kehadiran dan perbelanjaan pengunjung ke pusat beli-belah yang terkesan dengan pandemik COVID-19,” katanya selepas melancarkan ‘Kempen Shop and Be Rewarded’, di Melaka, hari ini.

Pada masa sama, Nancy berkata, kerajaan komited membantu industri belah-belah Malaysia berikutan segmen itu adalah penyumbang utama kepada

komponen perbelanjaan pelancong domestik iaitu sebanyak 37.8 peratus.

Beliau berkata, pandemik COVID-19 yang melanda melumpuhkan industri beli-belah dan peruncitan secara tidak langsung pada tahun lalu.

“Pusat beli-belah yang dahulunya penuh sesak dengan pengunjung tiba-tiba sepi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Namun begitu, kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan dengan membenarkan pembukaan sektor ekonomi memberi impak yang positif terhadap industri beli-belah di mana pengunjung mula mengunjungi pusat beli-belah dengan mengamalkan norma baharu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, orang ramai diingatkan supaya bertanggungjawab dengan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan serta mempraktikkan norma baharu ketika membeli-belah di samping membantu merancakkan kembali ekonomi negara.

Katanya, kempen itu dilaksanakan secara berfasa dengan peringkat kedua akan dijayakan dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, pandemik COVID-19 merekodkan sejarah buruk buat industri pelancongan apabila ketibaan pelancong antarabangsa menjunam sebanyak 83.4 peratus pada tahun lalu dengan catatan rekod sebanyak 26,100,784 pelancong pada 2019 kepada 4,332,722, tahun lalu.

“Pelancongan dunia berdepan krisis terburuk pada tahun 2020 dengan penurunan mendadak ketibaan pelancong antarabangsa sebanyak 74 peratus manakala pasaran Asia Pasifik menyaksikan penyusutan sebanyak 84 peratus mengikut Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top