
Stadium Santiago Bernabeu berkapasiti 81,044 antara penjana pendapatan kelab Sepanyol itu.
JUARA Eropah 14 kali dari Sepanyol, Real Madrid memintas gergasi England, Manchester City bagi mengungguli Liga Wang Bola Sepak Deloitte sebagai kelab penjana pendapatan tertinggi dunia pada musim 2022/23, dengan hasil komersial mengambil alih aliran pendapatan terbesar untuk pasukan.
Kelab La Liga kendalian Carlo Ancelotti itu, pendahulu buat kali pertama sejak musim 2017/18 menjana jumlah pendapatan sebanyak 831 juta euro diikuti Manchester City (826 juta euro) dan Paris Saint-Germain (802 juta euro).
Seteru Real, Barcelona pula naik dari tempat ketujuh tahun lalu ke tangga keempat, menjana 800 juta euro manakala Manchester United tergelincir satu tempat ke tangga kelima apabila memperoleh 746 juta euro.
Real mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 118 juta euro berbanding tahun sebelumnya, pertumbuhan 16 peratus berikutan disebabkan prestasi runcit yang kukuh, kehadiran stadium yang lebih tinggi dan pemulihan pendapatan tajaan.



