Jerebu di Riau semakin buruk, kualiti udara sangat tidak sihat

Jakarta: Pekanbaru dan Pelalawan di wilayah Riau, Indonesia di Pulau Sumatera meningkatkan status kecemasan kebakaran hutan dan tanah daripada “berjaga-jaga kecemasan” kepada “tindak balas kecemasan” susulan jerebu yang semakin buruk sehingga menyebabkan kualiti udara mencapai tahap sangat tidak sihat.

Ketua Badan Pengurusan Bencana Daerah dan Pemadam Kebakaran Riau M Edy Afrizal berkata Pekanbaru, ibu kota wilayah itu, dan Kabupaten Pelalawan adalah antara kawasan yang terjejas teruk akibat kebakaran, dengan sekolah dan universiti beralih kepada pembelajaran dalam talian berikutan keadaan yang semakin buruk.

“Peningkatan status kepada tindak balas kecemasan dijangka dapat memperkukuh penyelarasan rentas sektor, selain mempercepat usaha menangani kebakaran dan kesannya terhadap orang ramai,” katanya, menurut Agensi Berita Antara pada Khamis.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), status berjaga-jaga kecemasan diguna pakai apabila potensi ancaman bencana semakin meningkat, manakala status tindak balas kecemasan pula apabila bencana sedang berlaku dan mula menjejaskan kehidupan serta mata pencarian penduduk.

BNPB sebelum ini melaporkan 68 titik panas dikesan di seluruh Riau ketika kebakaran hutan dan tanah masih berlaku di wilayah itu.

Edy berkata pihak berkuasa masih memantau keadaan sebelum memutuskan sama ada untuk mengisytiharkan status tindak balas kecemasan di seluruh Riau, walaupun semua kabupaten dan bandar di wilayah itu telah mengisytiharkan status berjaga-jaga kecemasan, dengan Kuantan Singingi menjadi kawasan terbaharu berbuat demikian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top