Guna visa pelancong, 13 warga asing ditahan terbabit Love Scam

Guna visa pelancong, 13 warga asing ditahan terbabit Love Scam

am@hmetro.com.my

Melaka: Taktik sekumpulan warga asing menggunakan visa pelancong untuk memasuki negara ini sebelum menjalankan kegiatan penipuan dalam talian terbongkar apabila polis menyerbu sebuah rumah di Taman Kota Shahbandar, di sini, semalam.

Serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka itu berjaya menumpaskan sindiket Love Scam dan penipuan pertukaran mata wang kripto tidak wujud yang menyasarkan rakyat China.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, serbuan kira-kira jam 3 petang itu membawa kepada penahanan 13 individu berusia 24 hingga 36 tahun, terdiri daripada 12 warga China dan seorang warga Taiwan.

Beliau berkata, sindiket dipercayai memasuki Malaysia dari Filipina, Taiwan, Laos dan China antara Februari hingga September lalu.

“Mereka dipercayai menggunakan visa pelancong sebagai helah untuk memasuki negara ini sebelum mula menjalankan kegiatan penipuan di premis berkenaan sejak kira-kira tiga bulan lalu.

“Sindiket ini dikesan menggunakan aplikasi Telegram, QQ Chat dan Soul untuk mendekati serta memperdaya mangsa menerusi kata-kata manis dan janji palsu.

“Mangsa kemudian dipujuk memindahkan wang kononnya bagi urusan pertukaran mata wang kripto yang menjanjikan pulangan lumayan, sedangkan urus niaga berkenaan tidak wujud,” katanya.

Polis turut merampas 12 komputer riba, sebuah komputer meja, 26 telefon bimbit dan sebuah penghala internet Unifi bernilai kira-kira RM50,000.

Semua suspek direman empat hari sehingga 8 November bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top