lokman.khairi@hmetro.com.my
Putrajaya: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul meluahkan syukur selepas kerajaan Persekutuan bersetuju mengembalikan semula peruntukan kawasan Parlimen Muar yang dihentikan sebelum ini.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan peruntukan itu bukan untuk diri beliau, sebaliknya hak rakyat Muar dan akan terus disalurkan untuk kebajikan serta projek khusus di kawasan itu.
Beliau menyifatkan tindakan undang-undang yang diambil di mahkamah sejak 2024 lalu, bertujuan mendapatkan semula peruntukan kebajikan yang sudah diluluskan sebelum ini, tetapi kemudian ditarik balik.
“Ini bukan tuntutan untuk kepentingan politik peribadi atau balas dendam.
“Sebaliknya apabila peruntukan kebajikan rakyat Muar, khususnya membabitkan surau, sekolah dan kampung, ditarik hanya kerana perbezaan politik pada 2023 dan 2024.
“Kita merayu kepada mahkamah supaya campur tangan bagi mengembalikan peruntukan yang sudah diluluskan kepada penduduk kampung,” katanya ditemui selepas penyelesaian kes itu di Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini.
Syed Saddiq turut menghargai kesediaan wakil kerajaan termasuk Pejabat Perdana Menteri untuk mencari jalan penyelesaian melalui rundingan.
“Saya harap ini sedikit sebanyak akan memulakan proses supaya peruntukan yang adil dan saksama dapat diberikan kepada semua kawasan Parlimen, tidak kira warna politik,” katanya.
Pada prosiding hari ini, peguam, Lim Wei Jiet yang mewakili Syed Saddiq dan tiga pengundi Parlimen Muar memaklumkan, pemohon dan responden (Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan) mencapai persetujuan secara prinsip berhubung isu pemberhentian peruntukan kepada kawasan parlimen itu secara baik.
Beliau berkata, antara perkara yang dipersetujui ialah peruntukan bagi 2023 berjumlah RM500,000 untuk kebajikan Parlimen Muar yang sebelum ini dibatalkan akan dikembalikan semula.
Selain itu, peruntukan RM230,300 bagi projek spesifik seperti projek sekolah, surau, dan kampung di bawah sistem MyKHAS juga akan dikembalikan semula.
Wei Jiet berkata, kedua-dua pihak kini sedang meneliti mekanisme terbaik dan terperinci bagi merekodkan terma penyelesaian itu secara rasmi di mahkamah.
Panel hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri Azizah Nawawi kemudian menetapkan 7 Disember ini untuk pengurusan kes bagi pihak-pihak memaklumkan perkembangan mekanisme saluran peruntukan itu.
Turut bersidang, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




