KUALA LUMPUR – Reaksi spontan seorang penyokong Harimau Malaya menyaksikan perlawanan Piala Asia di Stadium Al Janoub, Qatar malam tadi yang menitiskan air mata tular di laman media sosial.
Momen itu berlaku apabila jurukamera memfokuskan kepada wajahnya selepas Arif Aiman Hanapi menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan Malaysia mendahului Korea Selatan 2-1.
Bagaimanapun, terdapat cerita di sebalik air mata di bumi Doha itu yang menarik perhatian netizen selepas wajah penyokong tersebut tular.

Berdasarkan maklumat yang turut tular di media sosial, penyokong setia dikenali sebagai Derrick Gan telah melakukan pengorbanan besar untuk hadir memberi sokongan kepada skuad negara di Piala Asia 2023.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook, Derrick mengambil keputusan melepaskan motosikalnya pada harga RM4,500 untuk mencari dana bagi membolehkannya terbang ke Qatar.
“Mencari dana ke Qatar! Malaysia Road to Asia! Tumpang lalu adik nak lepaskan motor demi negara tercinta..1st major tournament in Malaysia’s history!
“Ade sesiape sudi tolong x? Pape roger,” tulis Derrick menerusi akaun Facebooknya yang bertarikh 28 Disember itu.
Sehingga kini, hantaran itu menerima ratusan komen dan tanda kongsi ditinggalkan pada hantaran terbabit dengan rata-rata memberikan rasa tabik hormat atas inisiatif Derrick itu. – MalaysiaGazette




