Ringgit dibuka tinggi, dijangka terus meningkat jika OPR kekal pada 2.75 peratus

Ringgit dibuka tinggi, dijangka terus meningkat jika OPR kekal pada 2.75 peratus
Ringgit dibuka tinggi, dijangka terus meningkat jika OPR kekal pada 2.75 peratus

Ringgit meneruskan momentum semalam apabila dibuka tinggi pada Khamis di tengah-tengah jangkaan bahawa mata wang tempatan berpotensi untuk terus meningkat hari ini. Gambar hiasan

RINGGIT meneruskan momentum semalam apabila dibuka tinggi pada Khamis di tengah-tengah jangkaan bahawa mata wang tempatan berpotensi untuk terus meningkat hari ini.

Konsensus pasaran berpendapat bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 3.905/9300 berbanding dolar AS daripada 3.9230/9275 ketika ditutup pada Rabu.

BNM akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari ketiga hari ini, dengan pemain pasaran menjangkakan OPR kekal tidak berubah pada 2.75 peratus sementara menunggu penilaian terkini mengenai prospek inflasi dan pertumbuhan Malaysia.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, prestasi ringgit turut didorong oleh minat risiko yang meningkat selepas Amerika Syarikat (AS) dan Iran dijangka bersedia untuk mencapai persetujuan dan membuka semula Selat Hormuz.

“Minat risiko meningkat ketara dengan S&P 500 dan Nasdaq masing-masing melonjak 1.46 peratus dan 2.02 peratus dalam masa sehari untuk ditutup pada paras 7,365.12 mata dan 25,838.94.

“Hasil Perbendaharaan AS bagi tempoh dua tahun dan 10 tahun masing-masing menyusut lapan mata asas kepada 3.87 peratus dan 4.35 peratus,” katanya kepada Bernama.

Indeks Dolar AS (DXY) berkurangan 0.43 peratus kepada 98.023 mata.

Mohd Afzanizam berkata, sehubungan itu, ringgit berpotensi untuk terus mengukuh hari ini dengan BNM dijangka mengekalkan OPR pada 2.75 peratus.

“Gandingan dolar AS-ringgit hari ini dijangka bergerak menuju paras RM3.90,” katanya.

Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan mengukuh berbanding euro kepada 4.6058/6170 daripada 4.6189/6242 semasa ditutup pada Rabu, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3280/3409 daripada 5.3443/350 dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.5046/5109 daripada 2.5159/5191 semalam.

Mata wang tempatan juga kebanyakannya tinggi berbanding mata wang serantau.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0909/0986 daripada 3.0946/0986 ketika ditutup pada Rabu dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.1536/1898 daripada 12.1866/2074.

Ringgit diniagakan hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 225.4/226.1 daripada 225.6/225.9 sebelumnya, dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.39/6.41. – Bernama

Scroll to Top