Lisbon: Kakak kepada Cristiano Ronaldo mendakwa karier bintang Portugal itu di peringkat antarabangsa mungkin sudah berakhir.
Perkara itu disuarakan selepas pemain berusia 41 tahun itu secara mengejut meninggalkan kem Portugal ketika saingan Liga Negara-Negara bulan lalu.
Elma Aveiro, 53, bercakap pada majlis pelancaran bukunya, hari ini, sambil mendedahkan mengenai ‘rasa terluka’ yang dialami adiknya.
Ronaldo meninggalkan kem pasukan selepas diketepikan daripada kesebelasan utama ketika Portugal menewaskan Norway 2-1, sebelum berlaku pertengkaran dengan pengurus, Jorge Jesus, berhubung cara perkara itu dikendalikan.
Ronaldo kemudian mengeluarkan kenyataan hampir 2,000 patah perkataan bagi menjelaskan pendiriannya.
Sebelum ini, Ronaldo menyatakan hasrat untuk kembali menyertai skuad kebangsaan, namun Elma mendakwa perkara itu masih belum pasti ketika menghadiri acara yang turut dihadiri Jesus.
“Lebih berkemungkinan tidak daripada ya. Saya fikir kedua-duanya (Ronaldo dan Jesus) terluka. Ia adalah situasi yang mereka lalui, bukan saya. Saya bercakap bagi pihak adik saya.
“Saya fikir situasi itu masih tergantung, kita akan lihat apa yang berlaku. Saya tidak tahu, ia sangat rumit. Apabila kita dikhianati, amat sukar untuk kembali seperti biasa,” katanya.
Kakak Ronaldo itu turut berpendapat pengurusan Portugal sepatutnya lebih menghargai sumbangan adiknya terhadap pasukan kebangsaan.
“Perasaan saya adalah sedih kerana rakyat Portugal malangnya melupakan apa yang sudah dilakukan sebelum ini dan kini menganggap segala-galanya perlu dilakukan dengan cara berbeza.
“Saya tidak tahu hendak berkata apa, amat sukar untuk melihat adik saya melalui semua ini. Dia adalah antara individu yang paling tidak layak menerima layanan seperti ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




