Pasang kanvas kalis air bukan penyelesaian segera – JPS

Pasang kanvas kalis air bukan penyelesaian segera – JPS

Kota Bharu: Pemasangan kanvas kalis air di kawasan runtuhan tebing di Sungai Kelantan bukan penyelesaian segera bagi mengatasi masalah terbabit, kata Pemangku Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan Marinamarican Abdullah.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghantar permohonan peruntukan bagi kerja-kerja baik pulih kepada kerajaan dan menunggu tindakan segera yang perlu diambil berhubung kejadian itu.

“Tindakan penyelesaian segera seperti pemasangan kanvas kalis air dilihat agak berisiko kerana tumbuhan yang terdapat pada tebing itu boleh mati sekali gus mengakibatkan tebing lebih cepat runtuh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di lokasi runtuhan tebing di Taman Haji Hadi berdekatan Kampung Pendek, di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Saizol Ismail.

Sementara itu, Saizol berkata hasil pemantauan yang dilakukan terdapat runtuhan sepanjang 200 meter di kawasan tersebut dan berisiko berlaku runtuhan di kawasan penempatan penduduk.

Sebelum ini, media melaporkan lima keluarga yang menetap di taman berkenaan hidup dalam kebimbangan selepas berlaku kejadian runtuhan tebing di Sungai Kelantan baru-baru ini yang dipercayai jaraknya beberapa meter sahaja dari rumah mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top