PEMAIN badminton beregu lelaki Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menyingkap Kejuaraan Thailand Masters langkah kanan selepas menewaskan beregu dari China, Xie Hao Nan-Zeng Wei Han di pusingan pertama pada Selasa.
Dalam aksi Super 300 di Stadium Nimibutr, Bangkok itu Yew Sin-Ee Yi yang berstatus nombor 12 dunia mengatasi lawan berkedudukan 96 dunia tersebut 21-17, 21-16 dalam masa 33 minit.
Kemenangan itu membolehkan Yew Sin-Ee Yi yang juga pilihan keempat kejohanan berdepan gandingan dari Denmark, Jesper Toft-Andreas Sondergaard di pusingan kedua.
Toft-Sondergaard berstatus 51 dunia mara selepas mengejutkan gandingan 27 dunia Chen Bo Yang-Liu Yi dari China, 21-19, 21-17 dalam masa 41 minit.


