Arab Saudi benarkan akad nikah di dua masjid suci 

Arab Saudi benarkan akad nikah di dua masjid suci 

RIYADH: Pihak berkuasa Arab Saudi dilaporkan membenarkan majlis akad nikah dilaksanakan di Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Perkara itu diumumkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sebagaimana dipetik menerusi laporan akhbar tempatan al-Watan.

Berdasarkan laporan Gulf News, langkah itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan Arab Saudi untuk memberi peluang kepada jemaah merasai pengalaman bernikah di dua masjid suci itu.    

“Ia secara tidak langsung membolehkan pelaksanaan akad nikah tersusun dengan selesa dan mudah di dua masjid suci berkenaan,” jelasnya.

Para pakar berpandangan inisiatif itu memberi peluang kepada syarikat menghasilkan idea-idea inovatif untuk menganjurkan acara sedemikian di tempat suci itu.

Seorang pegawai perkahwinan, Musaed Al-Jabri memaklumkan melaksanakan akad nikah di dalam masjid adalah dibenarkan dalam Islam.

Malah, katanya, Nabi Muhammad SAW juga diketahui mengadakan upacara perkahwinan seorang sahabat di masjid tersebut.

Jelasnya, upacara perkahwinan di Masjid Nabawi juga sudah menjadi perkara biasa dalam kalangan penduduk tempatan.

“Ia disebabkan beberapa faktor. Ada di antara mereka mempunyai tradisi menjemput kebanyakan saudara mara pasangan yang bakal berkahwin.

“Biasanya, rumah keluarga bakal isteri tidak dapat menampung semua jemputan. Jadi, majlis akad nikah dijalankan di Masjid Nabawi atau Masjid Quba yang merupakan masjid pertama dibina dalam Islam,” katanya.