am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Seramai 20 individu termasuk dua lelaki warga Singapura menjalani hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) siri ketujuh kerana membuang sampah merata-rata.
Kesemua pesalah termasuk seorang wanita berusia antara 19 hingga 63 tahun itu melaksanakan hukuman berkenaan selepas disabitkan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam mengikut Seksyen 77B(1), Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Johor, Zainal Fitri Ahmad, berkata, pelaksanaan hukuman selama dua jam bermula jam 9 pagi itu dijalankan di Taman Rekreasi Jalan Pulai Bestari 7, Taman Pulai Bestari, Skudai di sini, tadi, di bawah pemantauan pegawai penguat kuasa SWCorp.
Manakala katanya, baki tempoh hukuman PKM setiap pesalah itu perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selaras dengan perintah mahkamah.
“Bagi siri ini, pesalah terdiri daripada pelbagai latar belakang, iaitu 13 warga tempatan, tiga warga Indonesia, masing-masing seorang warga Bangladesh dan Nepal, serta dua lelaki warga Singapura berusia 38 tahun.
“Kesalahan utama membabitkan pembuangan puntung rokok, tin minuman dan sisa plastik di tempat awam,” katanya selepas selesai pelaksanaan hukuman PKM berkenaan.
Beliau berkata, pelaksanaan PKM bukan sahaja bertujuan menghukum, malah memberi pendidikan kepada pesalah supaya lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran.
“PKM memberi mesej jelas bahawa setiap kesalahan membuang sampah mempunyai implikasi undang-undang, selain membentuk sikap lebih prihatin terhadap kebersihan awam,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini sebanyak 822 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan di Johor membabitkan 457 warganegara Malaysia dan 365 bukan warganegara.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 26 kes didakwa di mahkamah dengan jumlah denda keseluruhan RM21,300 serta hukuman PKM antara dua hingga 10 jam bagi setiap pesalah,” katanya.
Zainal Fitri berkata, SWCorp akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta memupuk budaya menjaga kebersihan dalam kalangan masyarakat.
Katanya, kesalahan membuang sampah di tempat awam boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau hukuman PKM sehingga enam bulan, manakala kegagalan mematuhi perintah itu boleh membawa denda maksimum RM10,000.
© New Straits Times Press (M) Bhd




