Kereta langgar tepi lori, pemandu Myvi maut

Kereta langgar tepi lori, pemandu Myvi maut

PARIT BUNTAR – Seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Myvi yang dipandunya terlibat dengan kemalangan jalan raya dengan sebuah lori di Jalan Sungai Rawa, di Sungai Bogak, dekat sini, pada Selasa.

Difahamkan dalam kejadian, mangsa maut yang dikenali sebagai Ng Yooi Heong berusia 43 tahun dipercayai telah melanggar bahagian tepi lori berkenaan sebelum kemalangan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 3.33 petang.

Katanya, sejurus selepas itu sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak menerima maklumat berkenaan kejadian kemalangan jalan raya antara Perodua Myvi dengan lori muatan kosong itu pada jam 3.33 petang. Foto ihsan JBPM PERAK

“Pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati pemandu Perodua Myvi itu tidak tersepit di dalam kenderaan, namun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans.

“Bomba telah melaksanakan size-up dan seterusnya membantu pihak polis mengeluarkan mangsa daripada bangkai kenderaan.

“Mangsa kemudian telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Operasi yang diketuai komander operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Redzuan Saidin itu tamat pada jam 4.51 petang. – MalaysiaGazette

Scroll to Top