Michelle Yeoh dedah tekanan dapat zuriat dengan bekas suami

Michelle Yeoh dedah tekanan dapat zuriat dengan bekas suami

Kuala Lumpur: Pelakon Tan Sri Michelle Yeoh, 61, masih berkawan baik dengan bekas suaminya juga mogul perniagaan dari Hong Kong, Dickson Poon.

Michelle berkata beliau sebenarnya bersyukur ada hikmah di sebalik perceraian itu dan membuat keputusan tepat.

“Anak perempuannya yang paling tua adalah anak angkat saya. Saya dan bekas isteri pertamanya masih saling berhubung dan pergi bercuti sama-sama.

“Saya rasa ia satu keputusan bijak untuk dilakukan (cerai), mampu undur diri dan tidak berpura-pura bahawa ia (perkahwinan dengan Dickson) akan menjadi.

“Kami saling mencintai namun tak ke mana kerana wujud harapan terlalu tinggi,” kongsinya pada sebuah episod ‘podcast’ Goop bersama Gwyneth Paltrow.

Anak jati Ipoh, Perak itu mendedahkan antara tekanan besar menjayakan perkahwinan itu adalah untuk mendapatkan cahaya mata.

“Saya tahu bekas suami mahukan keluarga yang besar. Bukan seorang, tapi dua atau tiga anak lelaki. Dia bekerja-keras memperluas empayarnya dan perlukan anak lelaki sebagai pewaris,” katanya.

Tambah wanita Asia pertama memenangi Pelakon Wanita Terbaik, di Anugerah Academy atau Oscar bagi edisi Ke-95 itu, beliau juga sukar mencari masa terluang bersama Dickson.

“Dengan kerja kami, kami sentiasa terbang sana-sini. Jika terbabit penggambaran di luar negara, kami tak berjumpa berbulan lamanya. Apabila kedua-dua pihak (sibuk bekerja), sukar cari keseimbangan itu,” katanya.

Selepas perkahwinannya itu gagal, Michelle bertemu sebelum bertunang dengan ahli perniagaan Jean Todt, 77, pada 2004.

Pasangan itu berkahwin pada 27 Julai tahun lalu di Geneva, Switzerland.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top