Bukit Aman buka 54 kertas siasatan Snuppe Mall tipu pengguna

Bukit Aman buka 54 kertas siasatan Snuppe Mall tipu pengguna

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman telah membuka 54 kertas siasatan terhadap syarikat Snuppe Mall yang didakwa menipu pengguna membabitkan kerugian mencecah RM1.03 juta.

Timbalan Pengarah (Siasatan) JSJK, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, siasatan mendapati syarikat berkenaan telah mempromosikan platformnya bagi menjana pendapatan tambahan secara dalam talian di media sosial.

“Individu yang berminat dikehendaki mendaftar dan membeli pakej ditawarkan serendah RM50 sehingga RM13,700 dan melakukan tugasan diberikan.

“Nilai komisen yang diterima adalah berbeza berdasarkan pakej yang dipilih dan disertai penggunanya dalam talian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pada Januari lalu syarikat berkenaan dikesan menawarkan ‘cashback’ sebanyak 80 peratus bagi setiap penambahan wang ke dalam akaun sehingga menyebabkan ramai pengguna tertarik dengan tawaran itu dengan membuat pemindahan wang ke syarikat tersebut.

“Bagaimanapun, siasatan mendapati pada 29 Januari lalu syarikat itu  secara tiba-tiba mengeluarkan notis yang mendakwa syarikat muflis dan menutup semua operasi mereka.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut dalam kes ini di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Berikutan itu, Rohaimi meminta individu yang menjadi mangsa dalam skim penipuan itu membuat laporan polis. – MalaysiaGazette

Scroll to Top