Mexico City: Tiket yang asalnya dibeli penyokong England untuk aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia menentang Mexico Isnin ini kini dijual semula pada harga mencecah AS$30,000 (RM127,200) sekeping menerusi portal jualan semula rasmi FIFA.
Empat tiket paling mahal yang ditawarkan mempunyai harga asal AS$605 (RM2,570) setiap satu, namun kini dijual pada harga hampir 50 kali ganda lebih tinggi.
Pembeli turut dikenakan yuran FIFA sebanyak 15 peratus, menjadikan jumlah keseluruhan yang perlu dibayar meningkat kepada AS$34,500 (RM146,300) bagi setiap tiket.
Penjual pula perlu membayar komisen 15 peratus kepada FIFA, namun masih mampu meraih keuntungan sekitar AS$25,500 (RM108,200) bagi setiap tiket.
Tiket paling murah yang ditawarkan pula berharga AS$3,448 (RM14,620) termasuk yuran, berbanding harga asal AS$295 (RM1,250).
Persatuan Bolasepak England (FA) mengesahkan tiket berkenaan dibeli menerusi undian Kelab Pengembaraan Penyokong England (ESTC) selepas undian kejohanan dibuat pada Disember lalu.
Ahli ESTC mengumpul mata atau ‘caps’ dengan menghadiri perlawanan England di laman sendiri dan tempat lawan, dengan pemegang mata tertinggi diberi keutamaan mendapatkan tiket perlawanan besar serta tiket pada harga asal.
Sehingga pagi Jumaat, sebanyak 76 tiket dalam kategori penyokong di belakang gawang yang diperuntukkan kepada penyokong England disenaraikan untuk dijual semula.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada tiket itu dijual oleh pembeli asal ESTC atau sudah bertukar tangan sebelum ditawarkan semula pada harga jauh lebih tinggi.
Tiket daripada kuota ESTC hanya boleh dibeli oleh pengguna yang mendaftar sebagai penyokong England ketika membuka akaun FIFA.
Harga jualan semula ditentukan sepenuhnya oleh penjual dan boleh diubah pada bila-bila masa, manakala FA tidak mempunyai kuasa menghalang urus niaga itu kerana ia dibenarkan mengikut peraturan FIFA.
Bagaimanapun, tiket kategori paling murah berharga AS$60 (RM255) tidak dibenarkan dijual semula.
ESTC sebelum ini mengumumkan dasar baharu bagi membanteras penjualan tiket secara tidak sah selepas percubaan awal membuahkan hasil.
Perlawanan di Stadium Azteca yang berkapasiti 80,824 tempat duduk itu dijadual berlangsung jam 1 pagi waktu Britain pada Isnin.
ESTC menerima kuota sebanyak 3,000 keping tiket untuk perlawanan itu, namun seramai 4,373 ahlinya memohon tiket, sekali gus menjadikan permintaan jauh melebihi jumlah yang diperuntukkan.
Penyokong yang memiliki sekurang-kurangnya 27 ‘caps’ dijamin memperoleh tiket pada harga asal.
Tiket hanya boleh disenaraikan untuk jualan semula selepas England mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik menerusi kemenangan ke atas DR Congo pada Rabu lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




