am@hmetro.com.my
Kuantan: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mendesak Tony Pua membuat permohonan maaf serta memadam semua hantaran atau berdepan tindakan undang-undang susulan keputusan Lembaga Pengampunan memberi pengurangan tempoh hukuman penjara serta denda ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, tindakan Tony Pua yang mengeluarkan kenyataan biadab menerusi beberapa hantaran di Facebook miliknya dengan memperlekehkan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib, jelas sekali menghina sistem perundangan negara.
“Tindakan beliau ini juga seolah-oleh cuba meraih publisiti murahan bila mana diri beliau dilihat sudah tidak lagi mendapat sokongan rakyat termasuk ditolak ahli partinya sendiri dan semakin menuju kepada pengakhiran karier politiknya.
“Saya mendesak agar Tony Pua membuat permohonan maaf serta memadam semua hantarannya itu atau tindakan undang-undang boleh dikenakan,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Wan Rosdy berkata, seluruh ahli Umno bersedih dan terkesan dengan keputusan berkenaan, namun menghormati keputusan itu walaupun hasrat untuk melihat bekas Perdana Menteri itu mendapat pengampunan penuh tidak menjadi kenyataan.
Kelmarin, Tony yang juga bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya memuat naik beberapa hantaran di Facebook miliknya selepas keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib.
Lembaga Pengampunan memutuskan untuk memberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International.
© New Straits Times Press (M) Bhd
