Sempena 2024, Ara padam semua gambar di Instagram

Sempena 2024, Ara padam semua gambar di Instagram

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi, Ara Johari , 27, memadam semua gambar di Instagram sebagai pembakar semangat baru untuk tidak lagi mengenang perkara-perkara yang sudah berlaku dan berlalu sebelum ini.

Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izatie Johari berkata, sempena tahun 2024 ini dia menyifatkan dirinya juga perlu tampil dengan sesuatu yang baharu dan segar.

“Saya memadam semua gambar itu kerana sekarang kita pun sudah masuk tahun 2024. Tahun ini pembaharuan untuk saya. ‘New year, new me’. Saya nak buang benda-benda lepas, tak nak kenang benda lepas dan apa yang dah jadi.

“Saya pun officially (secara rasmi) tidak lagi bersama syarikat pengurusan rakaman sebelum ini. Saya nak mulakan karier sendiri untuk menjadi seorang penggiat seni bebas.

“Diharapkan apa yang saya buat ini betul, apa akan jadi dengan saya nanti, kita serahkan kepada Yang Esa. Sebab, hanya Dia (Allah) tahu rezeki kita,” katanya ditemubual dalam program Melodi TV3.

Ara berkata, dia meninggalkan syarikat pengurusan rakaman itu secara baik tanpa sebarang sengketa, pergaduhan dan rasa tidak puas hati berikutan sudah lama mengikat kontrak.

“Saya bersama syarikat pengurusan rakaman berkenaan sudah tujuh tahun. Jadi, saya rasa sudah cukup untuk bersama syarikat rakaman dan saya pun tidak tahu apa akan jadi pada saya akan datang.

“Mereka pun banyak tolong saya dulu. Macam mana wujudnya Ara Johari disebabkan pihak pengurusan itu. Cuma, kali ini kita tengoklah macam mana saya boleh buat sesuatu yang jadi lebih besar,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Bunga ini, dia tidak memadam gambarnya di akaun media sosial disebabkan untuk menapis peminat lelaki yang menjadi pengikutnya berikutan insiden hitam dan tidak elok yang pernah dilalui itu.

Katanya, tidak boleh pukul rata ingat lelaki saja akan buat tidak baik, wanita juga boleh buat begitu dan kini, dia hanya dalam situasi berjaga-jaga dan bersyukur tidak lagi trauma dia atas apa yang sudah berlaku.

Ara yang juga finalis Akademi Fantasia (AF) 2016 pernah merangkul naib juara dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-33 pada 2019, sebelum ini bernaung dengan syarikat pengurusan rakaman, Rocketfuel Entertainment.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top