'Kilauan' Tina

'Kilauan' Tina

rencana@hmetro.com.my

BERKECIMPUNG dalam bidang pereka barang kemas tidak semudah yang disangka, malah memerlukan komitmen tinggi, kesabaran dan kemahiran dalam menghasilkan sesuatu barangan.

Situasi itu diakui pereka barangan kemas, Tina Wong dan jika berbekal keyakinan dan impian tanpa ada sandaran ilmu serta kemahiran, sangat sukar untuk mencapai sesuatu kejayaan.

“Bergelar pereka barangan kemas bukan perkara mudah dan saya juga mengambil masa lebih 20 tahun untuk mengecapi kejayaan.

“Kerjaya ini bukan sekadar mencipta sesuatu produk, malah memerlukan kreativiti, kecintaan dan sesuatu yang baharu supaya ia nampak menarik,” kata wanita berusia 50-an itu.

Kongsinya, selepas menamatkan pengajian dia menerima tawaran daripada pengusaha syarikat barang kemas untuk menghasilkan rekaan menerusi lukisan tangan dan dari situ dia mula tertarik dengan bidang itu.

“Saya juga pernah bekerja dengan beberapa syarikat pengeluar barang kemas terkenal negara dan dari situ dapat menimba ilmu untuk menghasilkan barang kemas sendiri,” katanya.

Tina berkata, ramai orang tidak menyedari jumlah masa, pelaburan dan proses yang digunakan dalam menghasilkan sesuatu barangan itu kerana mereka hanya melihat hasil.

Katanya, bagi mengembangkan kerjaya itu dia juga terbabit sebagai tenaga pengajar di sebuah kolej swasta untuk mencurahkan ilmu dan melahirkan minat dalam kalangan golongan muda menceburi bidang berkenaan.

“Saya meletakkan misi mencipta keajaiban bagi membantu melaksanakan hasrat dan impian pelanggan supaya mereka berpuas hati dan kelihatan anggun menerusi rekaan yang ditampilkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top