surayaroslan@mediaprima.com.my
Anak zaman sekarang membesar dalam dunia yang jauh berbeza berbanding generasi ibu bapa mereka.
Sejak kecil, mereka sudah biasa dengan telefon pintar, media sosial, permainan dalam talian dan pelbagai kandungan yang boleh dicapai hanya dengan hujung jari.
Tidak salah anak celik teknologi, malah kemahiran itu penting untuk masa depan.
Namun, dalam kesibukan mengejar kemajuan, ibu bapa tidak boleh terlepas pandang perkara asas seperti adab, disiplin, empati dan kemampuan mengurus emosi.
Anak juga perlu belajar bahawa tidak semua kehendak boleh dipenuhi serta-merta dan tidak semua perkara berlaku mengikut apa yang mereka mahukan.
Ibu bapa perlu membiasakan anak berdepan dengan perkataan ‘tidak’, belajar menunggu, menerima teguran dan menyelesaikan masalah tanpa terlalu cepat campur tangan.
Pada masa sama, komunikasi terbuka amat penting, anak yang kelihatan banyak bercakap atau aktif di media sosial tidak semestinya benar-benar berkongsi apa yang dirasainya.
Luangkan masa bertanya mengenai sekolah, kawan, perkara yang mereka gemari atau perkara yang membuatkan mereka risau.
Ada kalanya, anak tidak memerlukan penyelesaian segera, sebaliknya hanya mahu didengari.
Anak sekarang mungkin membesar dengan teknologi di tangan, tetapi nilai kemanusiaan tetap perlu dibentuk melalui perhatian, contoh dan didikan ibu bapa.
Teknologi boleh mengajar banyak perkara, namun keluarga tetap menjadi ‘sekolah’ pertama dalam membentuk siapa mereka pada masa depan.
Tip mendidik anak zaman sekarang:
1. Tetapkan had penggunaan gajet dan media sosial mengikut usia.
2. Jangan jadikan gajet sebagai ‘pengasuh’ utama setiap kali anak meragam.
3. Ajar anak menerima kegagalan dan kekecewaan tanpa terus menyalahkan orang lain.
4. Berikan ruang untuk anak membuat keputusan kecil supaya mereka belajar bertanggungjawab.
5. Puji usaha dan proses, bukan hanya pencapaian.
6. Jadi contoh kerana anak lebih mudah meniru tingkah laku ibu bapa berbanding mendengar nasihat panjang.
7. Wujudkan masa berkualiti tanpa telefon supaya hubungan kekeluargaan tidak hanya berlaku ketika makan atau sebelum tidur.
© New Straits Times Press (M) Bhd

