ACARA hoki lima sebelah (5s) bakal dipertandingkan pada temasya Sukan SEA, Bangkok Thailand 2025.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal berkata, maklumat berkenaan diterima daripada Presiden Persatuan Hoki Thailand Datuk Seri Chayaipak Siriwat yang memperjuangkan acara sukan baharu tersebut untuk dipertandingkan pada temasya sukan yang berlangsung dua tahun sekali itu.
“Chayaipak yang juga seorang daripada Majlis Olimpik Asia maklumkan perkara itu (hoki 5s akan diserap dalam Sukan SEA akan datang) kepada saya hari ini.
“Selepas ini, kami akan tumpukan hoki dalam dewan dan hoki 5s sebab ia berpotensi untuk mendapatkan pingat bagi negara,” katanya kepada pemberita semasa Majlis KHM beramah mesra bersama media di Stadium Hoki Nasional Malaysia di sini pada Rabu.



