Kami tak terikat dengan bon RM10 juta PKR – Rafizi

Kami tak terikat dengan bon RM10 juta PKR – Rafizi

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan dirinya tidak terikat dengan saman atau bon RM10 juta daripada PKR, selepas mengumumkan keluar daripada parti itu.

Bekas Timbalan PKR itu berkata, ini kerana beliau dan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad telah mengumumkan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa terlebih dahulu.

“Saman PKR ataupun bon yang PKR ada itu ialah kalau kami keluar parti dan masuk parti lain sebagai ahli Parlimen, disebabkan sebelum ini tidak ada ahli Parlimen yang sanggup mengosongkan kerusi.

“Semua nak jadi Ahli Parlimen tapi nak tukar parti. Jadi yang kami buat pada hari ini ialah kami mengosongkan kerusi dan mengembalikan mandat itu kepada rakyat.

“Maka bila kami keluar sebagai anggota PKR pada hari Selasa, sebenarnya itu tidak terikat dengan bon, disebabkan itu kami memilih mengambil langkah ini,” katanya pada sidang media pengumuman Hala Tuju Politiknya bersama Nik Nazmi di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Rafizi berkata, beliau dan Nik Nazmi meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen itu juga adalah bagi mengelak tuduhan cuba melanggar Akta Anti-Lompat Parti.

Katanya, keputusan meletak jawatan itu bagi membolehkan mandat diserahkan kembali kepada rakyat.

“Keputusan kami ini bagi membolehkan ia tidak dilihat sebagai lompat parti.

“Ini kerana kami menghormati mandat yang kami menang di atas tiket PKR dan PH dahulu maka kami mengosongkan kerusi itu,” katanya.

Menyentuh sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan dalam tempoh 60 hari susulan pengosongan kerusi itu, Rafizi berkata, perkara itu diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk diputuskan mengikut Perlembagaan.

“Sepatutnya selepas tempoh tiga tahun tidak perlu ada PRK tetapi ada peruntukan di dalam Perlembagaan yang Speaker boleh menulis untuk mengadakan PRK sekiranya kekosongan itu ada kesan kepada majoriti kerajaan.

“Berdasarkan keadaan sekarang sepatutnya perkara itu tidak terpakai kerana majoriti kerajaan berjumlah 150 kerusi tanpa kami berdua,” katanya.

Rafizi turut mengumumkan beliau dan Nik Nazmi akan kekal mempertahankan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa pada pilihan raya akan datang menggunakan lambang parti baharu, BERSAMA.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top