Kuala Lumpur: Seramai 88 pelajar sekolah seluruh Selangor diberi pendedahan melalui Siri Program Kepimpinan Muda TH 2024 anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai usaha menggilap bakat kepimpinan dalam generasi muda.
Program dua hari pada Isnin dan Selasa lalu yang turut mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) menghimpunkan pemimpin pelajar dan pelajar cemerlang dari 22 sekolah luar bandar terpilih, yang mempunyai potensi untuk meningkatkan kemahiran daya kepimpinan melalui pelbagai pengisian interaktif dan bermanfaat.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman, berkata program kemasyarakatan yang julung kali diadakan itu adalah platform perkongsian ilmu dan menimba pengalaman daripada tokoh industri berjaya bagi menyemai tunas inspirasi kepada peserta.
“Sebagai sebuah institusi pengurusan haji negara dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GILC), TH terpanggil menyediakan ruang dan peluang kepada penggiat industri dan profesional daripada pelbagai organisasi yang unggul termasuklah TH sendiri, untuk berkongsi pengetahuan serta pengalaman kepada generasi pelapis yang bakal mengemudi sesebuah organisasi mahupun pentadbiran negara pada masa akan datang.
“TH amat prihatin dan memberikan sokongan sepenuhnya terhadap sebarang usaha pembangunan generasi muda, terutama dalam kalangan pelajar luar bandar yang mungkin lebih memerlukan dari sudut pendedahan serta kemudahan dan kelengkapan pembelajaran agar dapat bergerak seiring kemajuan semasa.
“Justeru, TH mencetuskan idea untuk membina satu program modul kepimpinan yang kolektif bagi melahirkan pemimpin masa hadapan yang berwibawa dan berkualiti, sekali gus menjadi duta remaja TH,” katanya.
Kongsi idea, pengalaman
Melalui program itu tokoh industri terkenal iaitu Pengerusi Axiata Group Berhad, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan, ditampilkan untuk berkongsi mengenai falsafah kepimpinan, kualiti diperlukan, cabaran serta pengajaran daripada pengalaman peribadi sepanjang karier beliau.
Peserta juga mengikuti modul pemantapan sahsiah rohani menerusi sesi ceramah oleh selebriti televisyen terkenal, Ustaz Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin yang juga ahli kumpulan nasyid UNIC.
Kemahiran kepimpinan peserta turut diuji melalui pelbagai aktiviti berkumpulan yang turut membabitkan Pengurusan Tertinggi TH sendiri.
“Kami berharap inisiatif ini dapat mendedahkan anak-anak muda ini kepada suasana dunia korporat, di samping membantu memantapkan kemahiran dan menyemai keyakinan mendepani cabaran masa hadapan dan menyumbang kepada agama, bangsa dan negara,” tambah Syed Hamadah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




