Chelsea didenda RM57.6 juta, hukuman larangan perpindahan digantung

Chelsea didenda RM57.6 juta, hukuman larangan perpindahan digantung

London: Chelsea dikenakan denda £10 juta (kira-kira RM57.6 juta) serta hukuman larangan mendaftarkan pemain baharu selama dua jendela perpindahan yang digantung selepas rayuan berhubung pelanggaran peraturan Persatuan Bolasepak (FA) England diterima sebahagiannya.

Pada keputusan asal, kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dikenakan pemotongan enam mata secara bersyarat selain denda kewangan, namun lembaga rayuan menggantikan hukuman berkenaan dengan larangan perpindahan yang turut digantung.

Chelsea mengaku melakukan 74 pelanggaran peraturan FA babitkan urusan ejen pemain, penggunaan orang tengah dan pelaburan pihak ketiga terhadap pemain.

Kesalahan itu dilaporkan sendiri oleh pemilik baharu Chelsea kepada pihak berkuasa bola sepak pada 2022 ketika proses pengambilalihan kelab daripada bilionair Russia, Roman Abramovich.

Sebelum ini, suruhanjaya bebas yang mendengar kes berkenaan menjatuhkan hukuman pemotongan enam mata yang digantung sehingga 30 Jun 2027.

Bagaimanapun, Chelsea mengemukakan rayuan dan lembaga rayuan memutuskan untuk menggantikan hukuman itu dengan larangan mendaftarkan pemain baharu selama dua jendela perpindahan yang turut digantung.

Ini bermakna Chelsea tidak akan dikenakan sebarang sekatan serta-merta, namun hukuman itu boleh dikuatkuasakan sekiranya kelab berkenaan melakukan pelanggaran baharu dalam tempoh yang ditetapkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top