Cheng Hoe sasar keputusan positif ke atas Thailand

Cheng Hoe sasar keputusan positif ke atas Thailand

Kuala Lumpur: Harimau Malaya optimis mampu meraih keputusan positif dalam aksi Kumpulan B Piala ASEAN 2026 menentang Thailand di Stadium Rajamangala esok, walaupun kehilangan khidmat tonggak tengah berpengalaman Endrick Dos Santos akibat kecederaan.

Ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe berkata beliau amat menghormati skuad Gajah Perang, sambil menyifatkan Thailand sebagai antara pasukan terkuat di Asia Tenggara.

“Kita tahu Thailand memiliki ramai pemain berkualiti dan berbakat dari segi teknikal. Sudah tentu, kita hadir ke sini dengan sasaran untuk mendapatkan keputusan yang baik dan saya percaya kepada kemampuan pemain.

“Ia juga akan menjadi pengalaman berharga buat mereka untuk beraksi dalam perlawanan seperti ini di kejohanan berkenaan,” katanya kepada pemberita sebelum sesi latihan pasukan di Stadium Rajamangala hari ini.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Kedah berusia 58 tahun itu mengakui pemainnya masih belum mencapai tahap kecergasan fizikal terbaik selepas mengharungi dua perlawanan dalam tempoh singkat.

“Persediaan fizikal kita tidak berada pada tahap terbaik kerana jadual yang padat, tetapi itu bukan alasan. Kita bertekad untuk meraih keputusan positif di sini,” katanya.

Mengenai kecederaan Endrick, Cheng Hoe mengakui ia satu kehilangan besar buat pasukan dan beliau sedang berusaha mengenal pasti pengganti yang sesuai bagi pemain tengah berusia 34 tahun itu.

“Sudah tentu, semangat berpasukan kekal baik. Endrick juga terus bersama skuad untuk memberikan sokongan, sekali gus membantu mengekalkan perpaduan dalam kalangan pemain,” katanya.

Harimau Malaya membuka kempen Kumpulan B Piala ASEAN 2026 dengan kemenangan 2-1 ke atas Myanmar sebelum membelasah Laos 4-0, sekali gus meletakkan diri dalam kedudukan kukuh untuk mara ke separuh akhir selepas gagal melepasi peringkat kumpulan pada edisi 2024.

Sementara itu, ketua jurulatih Thailand Anthony Hudson berkata pemainnya tidak sabar untuk beraksi di hadapan penyokong sendiri Sabtu ini.

“Pemain sudah bersiap sedia dan tahap kecergasan fizikal mereka juga berada pada tahap terbaik. Malaysia beraksi dengan baik, jadi kami menjangkakan perlawanan yang sengit,” katanya.

Thailand memulakan kempen Piala ASEAN 2026 dengan kemenangan bergaya 5-0 ke atas Laos di Vientiane pada Ahad.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top