bhnews@bh.com.my
KULAI: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAIJ) dijangka akan menjadi pemerhati dalam prosiding rayuan berhubung isu penggunaan kalimah Allah.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi, berkata ia sebagai tanda sokongan kepada Kerajaan Persekutuan yang memfailkan rayuan berkaitan isu itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai itu berkata, isu berkenaan dibawa dalam Jabatan Fatwa Negeri Johor dan pihaknya sedang menunggu proses rayuan berkaitan isu itu daripada Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad akan mewakili JAIJ selaku pemerhati dalam prosiding.
“Diharap umat Islam bersabar sementara permohonan dilakukan oleh kerajaan negeri.
“JAIJ bersedia membantu mana-mana pihak di peringkat pusat bagi membolehkan mencari penyelesaian terbaik dalam perkara berkenaan.
“Mana-mana masyarakat Islam diminta bersabar dan tidak membuat andaian dan keputusan tersendiri dalam isu berkenaan kerana ia membabitkan sensitiviti kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengambil tindakan yang perlu dan wajar bagi menyokong usaha Kerajaan Persekutuan yang memfailkan rayuan berhubung isu penggunaan kalimah Allah pada 15 Mac lalu.
Pada 10 Mac lalu, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan tiga pengisytiharan deklarasi oleh seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill.
Mahkamah turut memutuskan selain kalimah Allah, tiga lagi perkataan yang dibenarkan dalam penerbitan bahan agama Kristian ialah Kaabah, Baitullah dan solat.
Terdahulu, Tosrin menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Amal Mariah Perbadanan Islam Johor (PIJ) di Dewan Serbaguna Felda Taib Andak di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor, Abdul ‘Alim Abd Shukor.
Sebanyak 97 sekolah di Kulai menerima sumbangan botol cecair pembasmi kuman dan kertas A4 bernilai keseluruhan RM50,000.
Sumbangan berkenaan bertujuan membantu proses pengajaran dan pembelajaran serta kebersihan warga sekolah dalam menangani penularan COVID-19.
© New Straits Times Press (M) Bhd



